Lepak ‘TC’ Cara Orang Kuantan Beriadah & Bersantai. Memang Layan..

Share

Anda sedang bercuti di sekitar Kuantan, Pahang?


Kunjungan ke Kuantan tidak lengkap jika tidak singgah ke Teluk Cempedak yang menjadi antara destinasi pantai pelancongan dan kawasan riadah paling popular di Pahang. Kawasan pelancongan itu bertambah sesak ketika hujung minggu dan musim cuti sekolah.

Nama Teluk Cempedak atau jolokannya TC dalam kalangan penduduk tempatan cukup dikenali kerana menawarkan pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan sama ada sendirian atau bersama keluarga seperti berkelah, mandi laut, atau sekadar bersiar-siar di pantainya sambil menghirup bayu laut. Pada sebelah malam, suasana di Teluk Cempedak lebih meriah dengan pelbagai gerai jualan dan persembahan seni pemuzik jalanan. Memang 'port' yang sangat layan untuk bersantai.






Teluk Cempedak menjadi tempat tinggalan sejarah lama berikutan kewujudan satu kubu dipercayai dibina oleh pihak British dalam usaha mereka mempertahankan kawasan itu daripada serangan tentera Jepun pada 1941. Kubu berkenaan dijaga rapi dan sedikit sebanyak membangkitkan nostalgia penduduk tempatan akan sejarah penjajahan di Tanah Melayu.


Bagi anda yang ingin bermalam di Teluk Cempedak, terdapat banyak hotel dan resort mengikut bajet poket masing-masing sedia untuk ditempah bila-bila masa sahaja. Ramai yang memilih untuk menginap di hotel yang mempunyai view pantai yang indah.


Kalau nak tahu, Teluk Cempedak memiliki pantai yang cantik dan berpasir putih. Memang sesuai untuk membawa anak-anak kecil untuk membina istana pasir di sini. Selain itu, batu-batu besar semula jadi pelbagai bentuk dan saiz menjadi antara dekorasi menarik di pesisir pantai. Kedudukan Teluk Cempedak juga berhampiran Hutan Simpan Beserah yang masih kaya dengan khazanah flora dan fauna. Turut disediakan trek menjejak denai di hutan ini bagi penggemar aktiviti mendaki. Panorama semula jadi longgokan batuan, kehijauan hutan dan pasir pantai yang landai dan memutih ini pastinya akan memberi sudut gambar yang cantik.

Oleh
Husna