Anda sedang bercuti di sekitar Kuantan, Pahang?
Kunjungan ke Kuantan tidak lengkap jika tidak singgah ke Teluk Cempedak yang menjadi antara destinasi pantai pelancongan dan kawasan riadah paling popular di Pahang. Kawasan pelancongan itu bertambah sesak ketika hujung minggu dan musim cuti sekolah.
Nama Teluk Cempedak atau jolokannya TC dalam kalangan penduduk tempatan cukup dikenali kerana menawarkan pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan sama ada sendirian atau bersama keluarga seperti berkelah, mandi laut, atau sekadar bersiar-siar di pantainya sambil menghirup bayu laut. Pada sebelah malam, suasana di Teluk Cempedak lebih meriah dengan pelbagai gerai jualan dan persembahan seni pemuzik jalanan. Memang 'port' yang sangat layan untuk bersantai.
Teluk Cempedak menjadi tempat tinggalan sejarah lama berikutan kewujudan satu kubu dipercayai dibina oleh pihak British dalam usaha mereka mempertahankan kawasan itu daripada serangan tentera Jepun pada 1941. Kubu berkenaan dijaga rapi dan sedikit sebanyak membangkitkan nostalgia penduduk tempatan akan sejarah penjajahan di Tanah Melayu.
Bagi anda yang ingin bermalam di Teluk Cempedak, terdapat banyak hotel dan resort mengikut bajet poket masing-masing sedia untuk ditempah bila-bila masa sahaja. Ramai yang memilih untuk menginap di hotel yang mempunyai view pantai yang indah.
Kalau nak tahu, Teluk Cempedak memiliki pantai yang cantik dan berpasir putih. Memang sesuai untuk membawa anak-anak kecil untuk membina istana pasir di sini. Selain itu, batu-batu besar semula jadi pelbagai bentuk dan saiz menjadi antara dekorasi menarik di pesisir pantai. Kedudukan Teluk Cempedak juga berhampiran Hutan Simpan Beserah yang masih kaya dengan khazanah flora dan fauna. Turut disediakan trek menjejak denai di hutan ini bagi penggemar aktiviti mendaki. Panorama semula jadi longgokan batuan, kehijauan hutan dan pasir pantai yang landai dan memutih ini pastinya akan memberi sudut gambar yang cantik.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Lelaki Ini Kongsi Trip Jejak Sejarah Islam Di Morocco & Spain Selama 15 Hari. Naik Turun Bas Dan Tinggal di Riad, Pengalaman Paling Berharga!
Kesempatan berkunjung ke dua negara yang kaya dengan sejarah tamadun Islam memberikan pengalaman indah buat Amirul Awal Ibrahim. Negara Maghribi atau Morocco dan juga Sepanyol menjadi destinasi pilihan berkelana selama 15 hari di sana.
Lengkap dengan pelbagai informasi sepanjang perjalanan, Amirul banyak menggunakan perkhidmatan bas untuk pengangkutan di sana selain berpeluang menginap di Riad iaitu rumah tradisional di Morocco dihiasi taman indah dan kaya dengan senibina asli mereka.
Turut berkongsi makanan-makanan enak yang dimakan ketika pengembaraannya, trip pada musim panas kali ini dirasakan cukup bermakna kerana dapat menjelajah lebih banyak tempat menarik yang ada di dua negara ini ekoran waktu siang yang lebih panjang dari waktu malam.
Morocco n Spain Summer Trip, Jun 2022
Sekadar berkongsi My trip Jun lepas ke Morocco dan Spain (Southern Region – Andalusia) selama 15 hari. Menjejak sejarah dan tamadun Islam di Morocco dan khilafah Islam di Andalusia, Spain. Maksudnya, trip ini banyak melihat old town, kota, istana lama dan budaya tempatan.
Saya bermula dari Casablanca (1) – Marrakech (3) – Fez (2) – Chefchoune (1) – Tangier – Seville (2) – Ronda (1) – Granada (2) – Cordoba (1) – Madrid (1).
Kebanyakan destinasi saya menggunakan bas kecuali dari Casablanca ke Marrakech dan Ronda ke Granada menggunakan train, Tangier ke Seville menggunakan flight lewat mlm Ryaair hanya dgn €8.. jika di Morocco saya menggunakan bas CTM, paling selesa.
Di Marrakech, anda boleh spend lebih dari 3 hari jika anda berhasrat untuk melawat luar bandar Marrakech, ke Sahara Desert atau Mount Atlas dan banyak lagi tempat menarik yg lain di situ.
Morocco sangat special di hati saya kerana Moroccan sangat mesra dan ramah, Hehehe… tapi mereka hanya fasih berbahasa arab dan French. Makanan mereka sangat sedap dengan hidangan Tajiin, Tanjier dan Kuskus. Semua ni anda bole nikmati di Jama Al-fna Night Market di Marrakech, food heaven!! Jika di Morocco rugi jika anda pilih hotel sebagai tempat tidur kerana Riad adalah identiti penting di Morocco, cantik ibarat rumah dalam taman. Murah.. pilihlah Riad yang terletak dalam old town di Marrakech, Fez dan Chefchaoune kerana senang untuk ke tempat2 menarik dan makan2. Old town sangat special kerana anda seolah2 berada seribu tahun ke belakang, tenggelam dalam kota lama bekas pusat pemerintahan kerajaan2 lama di Morocco. Di dalam old Town ini anda akan sesat dalam kesesakan kedai2 dan rumah2 lama, di dalam 1001 lorong. Di dalam old Town ini, kita seolah2 terperangkap dalam tembok dan dinding bangunan yang lama yg kelihatan usang dimamah masa. Namun di sebalik tembok dan pintu2 kayu tersebut ada riad2 yang cantik rekabentuk dalamannya berserta taman kecil sebagai laman rumah mereka, dan di dalam tembok usang tersebut jualah terselit istana2 lama yg berusia hampir seribu tahun dgn ukiran dinding dan bumbung yang sangat detail dan unik.. (lebih cantik dan halus berbanding yang terdapat di Istanbul, di mata saya…). Di Istanbul tu bangunannya cantik dari luar dan dalam… tapi jika di banding secara dalaman, senibina Morocco lebih halus dan unik. Senibina ini jugalah yang terdapat sebahagian besarnya di Andalusia Spain yg dipengaruhi oleh senibina Moorish.
Jika anda suka barang2 kulit, bolehlah ke Fez, terdapat tempat memproses beg / jaket dari kulit kambing yg murah!! Dikatakan cara memproses masih menggunakan cara lama sejak seribu tahun lalu. Tapi jika ke Fez, anda wajib menggunakan khidmat tour guide, bukan apa… takut tersesat dalam old town tu. Ada beribu2 lorong kecil… dan 14 pintu kota jika tak silap yg berada dalam tu. Yg paling Best, kat sini ada byk buah2 mediteranean yg di jual di pasar2 dengan harga murah. (Saya selit foto di bawah).
Di Chefchoune ada view yang sangat cantik, Blue City… rumah2 yang dibina tepi lereng bukit yg dicat dekat warna biru muda.. Populasi Chefchoune semakin padat sejak pengusiran orang Islam dan Yahudi oleh Spanish, semasa kejatuhan kerajaan Islam Andalusia 500 tahun dahulu, lebih kurang gitu la masanya. So… mereka telah lari ke Morocco untuk menyelamatkan diri dari dibunuh atau dipaksa memeluk Kristian. Tetapi perjalanan dari Fez ke Chefchaoune agak jauh juga dan melalui jln2 yg berbukit2, ala2 nak ke Cameron Highland gitu le.
Perjalanan ke Tangier hanyalah utk ke airport , utk ke Seville Spain. Dekat sahaja ke Seville Spain dgn Flight… 45 minit. Ada option lain… menggunakan feri dari Tangier port ke Tarifa atau Gibraltar di Spain. Tetapi saya malas, sebab nak jimat masa…
Di Andalusia, temanya tetap sama. Mengamati sejarah khilafah Islamiah melalui bangunan2 lama dan istana pemerintah Islam dahulu… perlu diketahui bahawa Islam berkuasa di Andalusia selama 800 tahun …. lama!!! Sejak dari dinasti Umayyah hinggalah berakhirnya dinasti Abbasiyah. Tapi sejarah di Andalusia ni agak kompleks untuk diceritakan… panjang, bermula dari penguasaan oleh org Arab pada 90 hijrah hinggalah kekuasaan dari Afrika utara (Morocco)…. tamat apabila kekuasaan khilafah di pegang oleh Uthmaniyyah di Turki. Di Cordoba Spain, pernah suatu ketika menjadi pusat Khilafah Islam. Cordoba sendiri pada waktu itu mempunyai masjid terbesar di Eropah, yg sekarang ini telah bertukar menjadi gereja. Maaf jika ada fakta yg kurang tepat, tapi secara kasarnya dan ringkasnya begitulah.
Di Spain, jika ada ke Seville, Cordoba, Granada, Malaga atau Toledo malah di Valencia juga rasanya… akan ada bangunan or istana yg membuktikan kekuasaan Islam dahulu masih terpelihara.. sgt cantik. Di Granada, saya spent almost 5 jam melawat Istana Alhambra. Dikatakan alhambra ni merupakan tarikan paling utama di Sepanyol. Tenggelam dlm keindahan senibina dan kecantikan gardennya… tak rugi pun bayar tiket yang mahal sikit. Mesti tengok.
Di Seville pun , istananya (Real Alcazar of Seville) pun tak kalah cantiknya.. memang tak cukup la 3 jam duk memusing2 dalam tu.. pergilah pepagi… tak ramai org lagi waktu tu….
Perjalanan saya musim summer sangat berbaloi, bulan Jun belum terlalu panas… masa panjang… bayangkan 9.45mlm baru masuk waktu maghrib. So, berapa banyak masa anda boleh spend untuk jenjalan… makan… bergambar… tanpa rasa kelam kabut. Biasanya jam 3 ptg hingga 6 ptg saya akan balik hotel sekejap untuk rehat2 ..
Makan2 di Andalusia region, Spain ni takde masalah… restoran Arab n Morocco banyak je. Menunya sama sahaja mcm di Morocco.. cuma mahal sikit la. Tajiin, Paila, kuskus, kebab… pilih n bayar.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kuala Rompin Kini Bukan Untuk Kaki Pancing Sahaja
Jika ditanya tentang Kuala Rompin, pasti yang terlintas di fikiran kebanyakkan orang adalah Taman Negara Endau Rompin atau laluan peringgahan untuk pergi ke Pulau Tioman.
Tidak banyak maklumat tentang tempat-tempat menarik yang ada di Kuala Rompin lebih-lebih lagi kepada orang luar.
Melainkan, seseorang itu kaki pancing kerana pekan kecil ini terletak di muara Sungai Pahang dan berdekatan pintu Laut China Selatan menjadikan Kuala Rompin antara lubuk pancing yang tersohor.
Tapi, itu untuk kaki pancing. Kalau yang bukan kaki pancing? Dah tentu tak tahu apa nak buat sekiranya melancong ke Kuala Rompin.
Sudahlah jarak perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuala Rompin mengambil masa empat jam! Sudah tentu memenatkan.
Usah khuatir. Sepanjang perjalanan melalui Ulu Bendul dan Muadzam Shah terdapat pelbagai tempat persinggahan menarik yang boleh diselingkan dalam jadual percutian kita.
Antara tempat yang dicadangkan adalah seperti sarapan pagi di warung D’Sawah, makan hidangan tengahari daging salai di Restoran Zaini, Ulu Bendul atau melawat Muzium Teratak Za’ba di Batu Kikir.
Tarikan baru Pantai Lanjut janjikan percutian hebat
Baru-baru ini, Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah menjemput Libur dan beberapa rakan media untuk mengikuti trip yang dianjurkan oleh mereka ke Lanjut Beach and Golf Resort (LBGR).
Selayang pandang, LBGR ini adalah resort terbaru yang dibangunkan oleh PNB dan akan menjadi tarikan baharu kepada pengunjung yang datang ke Kuala Rompin.
Mempunyai rekaan dalam dan luaran yang kontemporari dan moden, LBGR ini boleh memenuhi kehendak setiap pelancong yang datang tidak kira melancong secara santai atau korporat.
LGBR yang kini berada di peringkat akhir persiapan, hanya menanti beberapa fasiliti lain untuk disiapkan seperti gim, spa, peralatan lasak, dan padang golf.
Malah, sebuah ballroom yang mampu memuatkan lebih 1,000 orang dan 196 buah bilik turut tersedia untuk setiap pelancong yang datang ke sini.
Mirror of the Beach
Tetapi tarikan di Kuala Rompin bukan setakat itu semata-semata. Ada banyak lagi tarikan lain yang boleh dinikmati pelancong seperti keindahan Pantai Lanjut sepanjang 3.5km.
Keindahan pantai yang dapat dilihat adalah mirror of the beach. Pastinya fenomena alam semulajadi ini akan membuatkan peminat fotografi jadi gila untuk mengambil gambar yang terbaik.
Selain pantai, ada aktiviti lain yang boleh dilakukan oleh pelancong seperti mencari kepah. Pelancong akan dibawa menaiki bot sehingga ke lubuk kepah sebelum turun ke pesisir Sungai Pahang untuk mengutip sendiri kepah dari dasar sungai.
Pastinya tak ramai yang tahu macam mana cara untuk mencari kepah dan di Kuala Rompin inilah tempat terbaik untuk kita mencuba aktiviti-aktiviti seperti itu.
Untuk memudahkan urusan pelancong menjalankan aktiviti, pihak LBGR bersedia untuk membantu memudahkan urusan pelancong mengikut pakej yang diberikan.
Aneka Makanan Laut
Selain daripada itu, Kuala Rompin juga terkenal dengan aneka makanan lautnya. Maklumlah, lokasinya berdekatan dengan muara Sungai Pahang, mestilah mewah dengan hasil laut.
Pelancong yang datang ke LBGR boleh membuat tempahan untuk acara makan malam mengikut tema yang dikehendaki. Istimewanya, chef yang ada di sini boleh memasak makanan laut mengikut citarasa apa yang kita inginkan.
Jadi, dengan tarikan yang disediakan, wajar kiranya tempat ini dijadikan destinasi pelancongan terbaru kalau melancong ke Kuala Rompin lebih-lebih lagi ketika musim cuti sekolah hujung tahun ini.
Tip bercuti ke Kuala Rompin:
1. Ada tiga jalan utama untuk ke Kuala Rompin sama ada melalui Muadzam Shah, Pekan, Pahang atau Mersing, Johor. Sekiranya anda dari Kuala Lumpur, cadang terbaik adalah mengikuti laluan dari Muadzam Shah, Pahang kerana jarak perjalanan lebih cepat.
2. Digalakkan untuk menaiki kenderaan awam kerana tidak meletihkan sama ada bas yang turun di Pekan, Pahang atau menaiki kapal terbang yang akan mendarat di Kuantan, Pahang. Dari Pekan atau Kuantan, Pahang, anda boleh menaiki bas untuk ke Kuala Rompin dan pihak LBGR boleh pickup anda di sana.
3. Aktiviti mencari kepah atau memancing sebaiknya dilakukan sewaktu bulan April hingga Jun kerana hasil laut adalah lebih baik ketika musim ini.
4. Dalam laluan Muadzam Shah, terdapat ladang nenas iaitu Rompine Pineapple. Nenas yang dijual adalah untuk pasaran antarabangsa tetapi sekiranya ada yang berminat, diminta untuk menghubungi pihak Rompine terlebih dahulu untuk tahu sekiranya stok masih ada.
5. Standby duit lebih sebab kawasan Lanjut, Kuala Rompin ini adalah kawasan udang galah sepit biru. haha sendiri faham la ya..
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Rindu Wang Kelian, Perlis Sempadan Malaysia-Thailand Yang Dulu
Suasana Wang Kelian, Perlis pada satu ketika dahulu begitu meriah dengan kunjungan orang ramai. Puluhan bas membawa pelancong dari serata tempat tiba di pekan itu dan peniaga tempatan dan juga peniaga Thailand membuat persiapan sejak awal pagi bagi menyambut kedatangan pelancong.
Kalau di kampung-kampung, tidak lupa juga di bandar besar jika ada rombongan ke Wang Kelian, pasti mudah sahaja mendapat sambutan. Rata-rata, tidak kira yang tua, muda mahupun kanak-kanak begitu teruja untuk datang membeli-belah di sini.
Boleh dikatakan barang yang dijual di Wang Kelian tersangat murah berbanding di Padang Besar yang merupakan destinasi lain untuk membeli-belah sempadan Malaysia-Thailand di Perlis. Antara produk yang menjadi pilihan pengujung untuk membeli belah seperti tilam ‘toto’ atau ‘narita’, sayur-sayuran, buah-buahan, pakaian, barang mainan, periuk-belanga, kekacang dan barang perkakas rumah. Tidak dilupakan satu sajian wajib yang perlu dicuba dan terkenal di Wang Kelian iaitu ‘pulut ayam’.
Namun Wang Kelian yang dahulunya meriah dan menjadi tumpuan utama pelancong membeli-belah kini menjadi ‘pekan mati’ sejak pemansuhan Zon Aliran Bebas di antara Malaysia dan Thailand pada tahun 2015. Pada tahun itu juga, Wang Kelian digemparkan dengan penemuan 106 rangka manusia mangsa sindiket pemerdagangan manusia dipercayai etnik Rohingya, sejak daripada itu pekan tersebut mula sepi.
Pekan yang berhampiran dengan wilayah Satun, Thailand itu tidak lagi semeriah dahulu dan amat jarang terlihat kelibat pelancong tempatan mahupun luar datang membeli-belah di sini. Kawasan ini menjadi suram dan sunyi apabila hanya dijadikan tempat persinggahan pelancong sebelum masuk ke negara jiran, Thailand.
Premis perniagaan yang dahulunya menjadi tumpuan pelancong mulai lengang dan kebanyakan kedai kini hanya dijadikan sebagai stor menyimpan barang oleh peniaga Thailand dan tempatan. Sayangnya! Mesti ramai yang rindu nak datang Wang Kelian yang meriah macam dulu kan?
Menurut sumber Bernama, pada 1 April 2015, Jabatan Imigresen telah membatalkan serta-merta kemudahan pergerakan bebas ke pasar sempadan itu antara Malaysia dan Thailand. Sebelum ini penduduk kedua-dua negara boleh menikmati kemudahan bergerak sehingga dua kilometer tanpa menggunakan pasport atau pas sempadan pada hari minggu yang pernah dikuatkuasakan sejak 1993 hingga 2015.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI