Sedar atau tidak, di Malaysia mempunyai beberapa Tapak Warisan Dunia yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Ia sekali gus menjadikan negara sebaris dengan negara-negara besar lain yang pernah menerima pengiktirafan sedemikian sebelum ini.
Kita mengenali Taj Mahal, Tembok Besar China atau Angkor Wat sebagai tapak warisan dunia, namun masih ramai yang tidak mengetahui beberapa tempat di Malaysia seperti Lembah Lenggong di Perak dan Taman Negara Gunung Mulu di Sarawak juga adalah destinasi Tapak Warisan Dunia. Jika berkesempatan, jom melawat destinasi-destinasi menarik ini.
Sejak penemuan rangka Perak Man pada 2001 dan Perak Woman pada 2004, nama Lembah Lenggong yang terletak di daerah Hulu Perak terus dikenali di peringkat antarabangsa. Penemuan-penemuan saintifik yang dilakukan oleh penyelidik tempatan sebelum ini telah membuka pintu rahsia kehidupan masyarakat awal di rantau ini.
Ia terbukti menyimpan rahsia besar sejarah kehidupan manusia dan sejarah tamadun manusia yang pernah wujud dipercayai berjuta tahun lalu. Kawasan itu juga dipercayai menjadi laluan keluar terawal manusia dari Afrika menuju ke Australia. Bukit Bunuh misalnya, menjadi pilihan penempatan awal manusia kerana ia kaya dengan pelbagai sumber alam dan keperluan untuk menyediakan peralatan batu.
Penemuan kapak genggam pada tahun 2009 membuktikan kawasan itu merupakan satu-satunya tapak manusia Paleolitik yang berfungsi sebagai bengkel membuat alat batu. Di samping itu, terdapat beberapa bukti lain yang turut dijumpai di sekitar Kota Tampan dan Gua Teluk Kelawar seperti tembikar, peralatan gangsa dan sebagainya.
Kaji Artifak
Lembah Lenggong telah diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO menjadikan, ia tapak keempat diktiraf di Malaysia. Bagi pengunjung yang mahu melihat kesemua artifak itu dengan lebih dekat bolehlah berkunjung ke Muzium Arkeologi Lenggong di Kota Tampan.
Terletak di sebelah utara negeri Sarawak, Taman Negara Gunung Mulu merupakan salah satu daripada destinasi pelancongan yang terkenal di Malaysia. Mempunyai keluasan lebih 544 kilometer persegi, ia mula diwartakan sebagai taman negara pada 3 Oktober 1974. Dengan dikelilingi tiga buah gunung iaitu Gunung Mulu, Gunung Api dan Gunung Benarat, Taman Negara Mulu mempunyai kepelbagaian bio yang menakjubkan.
Kawasan hutan yang terdiri daripada jenis paya gambut, rawa, dipterokap, lumut serta tumbuhan gunung menempatkan ribuan spesies flora dan fauna. Puncak Pinnacles pula menjadi mercu tanda bagi Gunung Mulu. Bagi mereka yang sukakan cabaran, bolehlah cuba mendaki ke puncaknya yang dipenuhi bantuan yang terhasil secara semula jadi.
Teroka Keindahan Alam
Tatkala berada di taman negara ini jangan lupa mencuba aktiviti penerokaan gua yang menjadi identitinya selama ini. Antara gua yang wajib dikunjungi pastinya Sarawak Chamber. Ia cukup besar dan luas serta dikatakan mampu memuatkan lapan jet jumbo 747. Tidak cukup dengan itu, pengunjung juga boleh meneroka beberapa tarikan lain yang tidak kurang hebatnya seperti Gua Rusa atau Gua Air Jernih.
Bagi pencinta alam semula jadi, perasaan kagum pasti hadir melihat keunikan formasi stalagmit dan stalagtit serta pelbagai arca yang terhasil akibat proses geomorfologi yang berlaku. Ia diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada November 2000.