Lelaki Kaya Jepun Cari Teman Hidup Untuk Ke Angkasa Keliling Bulan Bersama

Share

Jangan main-main tau, selalu orang ingin mencari pasangan hidup untuk melancong satu dunia bersama-sama. Tetapi lain pula dengan bilionair dari negara matahari terbit ini. Beliau mencari teman hidup untuk ke terbang ke angkasa mengelilingi bulan.

Bulan? ya bulan yang sebenar tu!

Bilionair Jepun yang dikenali sebagai Yusaku Maezawa menjadi sensasi di dunia sekarang ini kerana beliau dikatakan mencari teman hidup untuk menemani perjalanannya mengelilingi bulan. Sekali gus menjadi subjek sebuah program dokumentari terbaharu.




Beliau yang juga usahawan fesyen atas talian kini berusia 44 tahun, memaklumkan sedang mencari wanita berusia 20 tahun ke atas.

"Perasaan sepi dan kosong menguasai saya, jadi ada satu perkara yang saya fikirkan, iaitu mencintai seorang wanita. Saya ingin mencari pasangan untuk masa depan saya, saya ingin laungkan cinta kami dan kedamaian dunia dari ruang angkasa," tulis Yusaku Maezawa di laman webnya.

Yusaku Maezawa akan terbang mengelilingi bulan pada 2023 sebagai penumpang persendirian pertama menaiki pesawat angkasa SpaceX milik Elon Musk.

Jika anda mahu memohon untuk menjadi teman wanita Maezawa mestilah berminat untuk menjelajah ke ruang angkasa dan bersedia mengambil bahagian dalam persediaannya, serta menginginkan kedamaian dunia.

Yusaku Maezawa yang baru-baru ini berpisah daripada teman wanitanya, pelakon Ayame Goriki, 27 tahun, berkata dia merancang untuk membawa penggiat seni dalam penerbangan itu untuk memberi inspirasi kepada hasil kerja mereka.




Dokumentari yang bertajuk "Full Moon Lovers", akan disiarkan di AbemaTV, disokong oleh agensi iklan dalam talian CyberAgent dan TV Asahi dan mensasarkan kalangan penonton belia.

Sebelum ini, Yusaku Maezawa menghadiahkan wang berjumlah AS$9 juta kepada 1,000 pengikutnya di Twitter dalam satu eksperimen sosial untuk melihat sama ada wang boleh meningkatkan kebahagiaan.

Taikun fesyen Jepun itu memberikan 1 juta Yen (AS$9,000 atau RM37,500) kepada 1,000 pengikut yang dipilih secara rawak. Impak pemberian wang itu dipantau secara berkala oleh pasukannya.

Yusaku Maezawa memang terkenal dengan tabiat berbelanja yang mewah ke atas karya seni dan kereta sport, namun mempunyai idea aneh seperti membayangkan dunia tanpa wang. Ramai yang tertarik dengan coretannya tentang pelbagai pengisian rutin harian dan falsafah kehidupannya.




YouTube adalah cabang terbaharu dalam talian bagi Yusaku Maezawa, dengan kandungan video beliau menaiki jet peribadinya, kunjungan ke kedai gunting rambut, dan mengemas kini buku banknya.

Nak buat macam mana kan? Ada duit apa yang diimpikan mungkin boleh terlaksana. Kalau anda individu yang berminat menjadi teman hidupnya, mohon la sekarang




Sumber: Astroawani

Oleh
Husna