Leh Ladakh Destinasi ‘Hidden Gems’ Di India Alami Cuaca Empat Musim

Share

Leh Ladakh sebuah destinasi ‘hidden gems’ di India menjadi tarikan penduduk tempatan. Walaupun tidak terkenal dalam kalangan pelancong luar seperti daerah Kashmir, Agra, Jaipur, New Delhi, dan Mumbai, Leh Ladakh tetap istimewa buat masyarakat India.

Leh Ladakh menjadi tarikan kerana keunikan bentuk muka bumi, keindahan alam semula jadinya dan di kelilingi dengan struktur muka bumi bergunung-ganang. Terletak di utara India di sebelah bahagian timur bersempadan dengan Tibet, Leh Ladakh didominasi penduduk beragama Buddha, Islam, Sikh dan juga Kristian. Leh Ladakh terletak hampir 500 kilometer dari Srinagar, Kashmir yang terletak di sebelah barat utara India yang bersempadan dengan Pakistan.

Leh Ladakh mengalami cuaca empat musim dan menjadi tumpuan terutama pada musim panas bermula Jun sehingga September. Musim bunga yang bermula awal April sehingga Mei juga boleh dikategorikan masih sejuk dan ada bahagian yang mengalami suhu di bawah paras beku pada waktu malam.

Jika dari New Delhi, Leh Ladakh yang jauhnya 1,240 kilometer boleh dilawati dengan penerbangan domestik dari New Delhi yang hanya mengambil masa satu jam setengah. Banyak tempat menarik yang boleh dilawati di sana, antaranya Lembah Nubra, Lembah Indus, Tasik Pangong, dan bandar Leh Ladakh sendiri. Jika ingin membeli buah tangan, di sini banyak menjual barangan seperti selendang sutera,makanan kering seperti aprikot, badam, kismis, barangan cenderahati yang diperbuat daripada tembaga dan juga karpet.

Menyentuh soal makan, anda tidak perlu risau kerana di Leh, tersedia banyak makanan halal, kerana adanya segelintir komuniti Islam di sana. Daging dan ayam yang halal banyak dijual di sana, dan majoriti peniaga yang menjual barangan mentah adalah orang Kashmir. Kemudahan teksi dan bas bukanlah seperti tempat-tempat pelancongan yang lain. Sebaik-baiknya untuk ke sana sila rancang percutian lebih awal.

Trivia

  • Penduduk di Leh Ladakh kurang padat seperti bandar lain di India.
  • Tidak ada sebatang lampu isyarat pun tetapi tidak bermakna tiada kenderaan.
  • Kembara motor besar gemar menjadikan kawasan ini sebagai lokasi pit stop.

  • Leh Ladakh juga merupakan pusat latihan tentera India terbesar.
  • Lapangan Terbang Kushok Bakula Rimpochhe berkongsi dengan lapangan terbang tentera dan domestik.

Sumber: India Today Lonelyplanet Utusan

Oleh
Admin