Legoland Malaysia Resort tampil dengan lima mural khas diperbuat daripada 150,000 bongkah lego, ditujukan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus menangani pandemik COVID-19 di Malaysia.
Mural berukuran sebesar saiz sebenar itu yang memaparkan wajah para doktor, polis, tentera, pengamal media, pekerja pembersihan dan penghantar barangan termasuk makanan itu, dihasilkan oleh kakitangan Legoland Malaysia dengan bantuan komuniti Malaysian Lego Buildiing. Proses penghasilan mural ini mengambil masa selama sembilan hari.
Perasmian program itu disempurnakan oleh Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad. Turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri dalam ucapan pada majlis itu berkata, pembukaan semula 13 subsektor pelancongan negara pada ketika ini adalah hasil kecekalan petugas barisan hadapan negara dan kerjasama rakyat dalam menangani COVID-19.
"Bertitik tolak daripada itu, saya yakin dengan penekanan kepada sektor pelancongan domestik yang mengorak langkah sejak dua bulan lepas, dapat dirancakkan dengan lebih agresif oleh semua pihak, lebih-lebih lagi pengusaha dan penggiat industri pelancongan dan kebudayaan di negara ini," katanya.