Lebuhraya California Selatan Sesak Teruk Kerana Fenomena Indah Bunga Liar ‘Superbloom’

Share

Di Malaysia, ada sesetengah tempat dan kawasan selepas mengalami perubahan suhu atau cuaca pasti akan menyebabkan lokasi itu berubah rupanya daripada kebiasaannya.

Sebelum ini mungkin langsung tiada daya tarikan, tiba-tiba sahaja muncul bunga-bunga indah, tumbuhan hijau yang segar dan banyak lagi. Apa lagi, ramai la pengunjung yang datang untuk menyaksikan fenomena itu kerana ia mungkin sesuatu yang jarang-jarang berlaku.

Itu juga yang berlaku di sebuah bandar kecil, Walker Canyon di California Selatan.  Kewujudan bunga-bunga berwarna jingga yang berkembang telah memaksa pihak berkuasa menutup laluan ke kawasan itu berikutan jumlah pengunjung terlalu ramai yang datang untuk bergambar.

Bunga liar yang mekar dengan gelaran ‘superbloom’ itu terhasil berikutan hujan lebat selepas musim sejuk menyebabkan kawasan lereng bukit dipenuhi bunga poppy jingga yang jelas dapat dilihat dari jarak ratusan kilometer.

Pihak berkuasa bandar Lake Elsinore menutup laluan ke Walker Canyon berikutan pengunjung terlalu ramai sehingga menyebabkan kesesakan di lebuh raya berdekatan. Kira-kira 50,000 pelawat dicatat hujung minggu lalu, dan orang ramai berbaris seawal jam 5.30 pagi untuk melihat bunga itu mekar.

Walker Canyon yang terletak 90 minit dari Los Angeles, sebelum ini hanya dikunjungi penduduk berdekatan namun, masalah timbul apabila pengunjung membuat laluan baru di lereng bukit serta merosakkan bunga dengan berbaring dan memijaknya kerana hanya untuk bergambar.

Datuk Bandar Lake Elsinore, Steve Manos berkata, pihaknya melaksanakan langkah keselamatan, termasuk menyediakan bas pengantara. Huru-hara pada hujung minggu menyebabkan seorang kakitangan perbandaran dilanggar kereta dan seorang pengunjung dipatuk ular. Namun, ekoran daripada keadaan yang tidak terkawal, bandar itu terpaksa menutup laluan ke kawasan itu pada hujung minggu apabila tidak dapat mengawal pengunjung seramai mengunjungi taman tema Disneyland.

Sumber: Dailymail

Oleh
Husna