Lebih 3,000 Bilik Penginapan Sudah Ditempah Di Lokasi Tumpuan Pelancongan Pahang

Share

Lebih 3,000 daripada 38,000 bilik penginapan di Pahang ditempah setakat 12 tengah malam tadi (7 Jun 2020), sebaik pengumuman kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan domestik menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), bermula 10 Jun 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata menerusi facebook rasminya Mohd Sharkar Shamsudin, jumlah tempahan bilik itu membabitkan lebih 500 hotel, motel, resort, chalet dan homestay.

Kawasan tanah tinggi, Cameron Highlands menunjukkan perkembangan yang sungguh memberangsangkan dengan pertambahan jumlah tempahan yang mendadak sebaik sahaja rentas negeri dibenarkan oleh kerajaan.

Foto: pixels.com

Sebagai contoh, sebuah hotel di Cameron Highlands menerima lebih 300 tempahan bilik dalam hanya beberapa jam selepas pengumuman kebenaran rentas negeri dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Maklum balas dari Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) cawangan Pahang juga menunjukkan perkembangan yang baik di kalangan ahlinya. Selain Cameron Highlands, destinasi lain yang menjadi tumpuan pelancongan seperti Kuantan, Cherating dan Rompin juga mula menerima tempahan daripada pelancong.

Foto: agoda

Beberapa hotel terkemuka di Taman Negara juga mula mendapat tempahan walaupun secara tradisinya sebanyak 66 peratus pelancong dari luar negara. Oleh itu, agensi pelancongan dan resort perlu menyesuaikan aktiviti dan produk bersesuaian untuk menarik pasaran tempatan.

LATA BERKOH (NATIONAL PARK) PAHANG.  Foto: agoda

Selain itu, kawasan pelancongan Pulau Tioman juga menunjukkan perkembangan positif. Bagaimanapun, aktiviti laut seperti skuba masih belum dibuka. Ini agak memberi kesan memandangkan aktiviti ini merupakan produk penting bagi Pulau Tioman. Pusat peranginan Genting Highlands masih belum dibuka memandangkan aktiviti utamanya iaitu taman tema belum boleh dibenarkan beroperasi. Bagaimanapun, Genting Premium Outlet (GPO) sudah dibuka sebahagiannya.

Foto: resort world

Sumber: HMOnline

Oleh
Husna