Di Jepun, terdapat sebuah lokasi pelancongan umpama ‘atas kayangan’ menjadi tumpuan ramai iaitu Unkai Terrace yang terletak di Tomamu Resort berdekatan Pulau Hokkaido. Tomamu Resort turut terkenal dengan keunikan kolam renang ‘indoor’ yang menjadi kegemaran tetamu yang menginap di situ.
Terletak di bahagian paling utara Jepun, Pulau Hokkaido terkenal sebagai destinasi pelancongan unik. Unkai Terrace merupakan kawasan bukit tinggi yang menyajikan permandangan yang indah dengan pemandangan lautan awan putih terletak tinggi di atas puncak gunung yang lebih tinggi dari awan! Sememangnya unik kerana terasa seperti tinggal di rumah awan.
Unkai dalam bahasa Jepun bermaksud lautan awan. Sesuai dengan maksudnya, Unkai Terrace merupakan sebuah lokasi tanah tinggi yang langitnya dipenuhi gumpalan awan menyerupai lautan. Penduduk tempatan di Pulau Hokaido terutama sekitar Perkampungan Shimukappu dan pekan Tomamu pula menggelarnya sebagai Fenomena Unkai.
Ia dikatakan berpunca daripada wap mata air panas yang terdapat di sekitar kawasan itu. Wap air tersebut berubah menjadi gumpalan awan apabila ia bebas ke ruang udara yang lebih sejuk pada waktu malam.
Apabila pagi menjelang, kawasan sekitar Unkai Terrace akan dipenuhi lautan awan dan fenomena tersebut boleh disaksikan oleh para pengunjung bertuah yang berada di puncak Pergunungan Tomamu. Pembentukan lautan awan di Unkai Terrace bagaimanapun bukan fenomena yang kerap berlaku dan ia bergantung kepada keadaan suhu waktu malam di sekitar Pergunungan Tomamu.
Fenomena semula jadi itu tidak berlaku sekiranya suhu di pergunungan tersebut tidak mengalami perubahan daripada panas kepada lebih sejuk pada waktu malam. Maka berdoalah anda jika sudah sampai ke sini agar berpeluang melihat lautan awan ini. Ini kerana, paling menarik pengunjung berpeluang menyaksikan gumpalan awan itu berarak seperti ombak di lautan apabila angin bertiup nyaman di kawasan lembah pergunungan tersebut.
Disebabkan pembentukan lautan awan di Unkai Terrace bergantung kepada keadaan suhu di Pergunungan Tomamu, waktu terbaik untuk menyaksikan fenomena itu ialah pada sekitar musim panas antara Jun hingga September. Lebih mengasyikkan, para pengunjung Resort Tomamu juga berpeluang menyaksikan matahari terbit di Unkai Terrace yang dikelilingi awan selama empat setengah jam bermula seawal pukul 4 pagi sebelum lautan putih itu menghilang selepas pukul 8.30 pagi. Pengunjung perlu menaiki kereta kabel yang disediakan untuk naik ke kawasan ini.
Namun, jika pengunjung tidak berpeluang menikmati fenomena ini, anda masih boleh menyaksikan pemandangan menarik alam semulajadi dari ketinggian atas di pelantar jaring atau bersantai menjamu selera di kafe terdekat.
Selain fenomena Unkai Terrace, pekan kecil tersebut turut terkenal sebagai lokasi sukan lasak ski di pergunungan bersalji. Pada musim sejuk antara Disember hingga Februari, para peluncur dari seluruh dunia akan berkunjung ke Tomamu untuk melakukan aktiviti sukan luncur salji sambil meneroka keindahan di sekitar pergunungan itu.