Memandangkan Aidilfitri akan disambut umat Islam pada 24 Mei ini dalam suasana normal baharu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mahu perayaan itu disambut berlandaskan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa berhari raya termasuk mengehadkan jumlah pelawat pada satu-satu masa.
Masyarakat perlu mematuhi saranan bukan sahaja mematuhi jarak sosial tetapi juga tidak ada amalan ‘peluk cium’, bersalaman seperti amalan yang selalu ketika menyambut Aidilfitri. Jika anda tidak dapat amalkan jarak sosial tersebut lebih baik kita kurangkan melawat atau menziarahi.
Kerajaan juga memberi peringatan agar ibu bapa atau penjaga tidak digalakkan membawa kanak-kanak ke tempat tumpuan ramai seperti pusat membeli-belah untuk membuat persiapan raya atau membeli barang keperluan.
Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan akan mempertimbang untuk memasukkan tindakan membawa kanak-kanak ke premis berkenaan ke dalam Akta 342 sebagai perkara yang dilarang jika masih ramai ibu bapa berbuat demikian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.
Setakat ini, di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), masih tiada sebarang sekatan untuk membawa anak kecil ke premis tumpuan ramai seperti pusat membeli-belah. PKPB dilanjutkan selama empat minggu lagi sehingga 9 Jun, sekali gus menyaksikan pergerakan rentas negeri untuk pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak dibenarkan.
Sumber: Bernama