Istimewa buat pengunjung Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) Johor, kini anda boleh menikmati kemudahan parkir secara percuma mulai 12 tengah hari hingga 2 petang dan dari 6 petang hingga 8 malam sepanjang minggu, sehingga 31 Julai, 2020.
Menurut pengendali Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd (SATSSB), tawaran tersebut adalah sebahagian usaha untuk menarik pengunjung tempatan serta membantu perniagaan peruncit dan pengendali makanan dan minuman yang menghadapi tempoh kelembapan sejak beberapa bulan lepas. Menerusi usaha itu, pihaknya berharap dapat menggalakkan lebih banyak permintaan terhadap perniagaan runcit serta makanan dan minuman di LTAS sementara jumlah penumpang mulai meningkat.
Pengunjung layak mendapatkan kemudahan parkir secara percuma itu menerusi sebarang pembelian tanpa nilai minimum dari mana-mana peruncit atau kedai makanan dan minuman di LTAS. Pengunjung boleh mengesahkan tiket parkir dengan mengemukakan resit sebagai bukti pembelian di Kaunter Informasi Lapangan Terbang Antarabangsa Senai .
Lapangan Terbang Antarabangsa Senai kini menempatkan 24 jenama runcit serta 16 kedai makanan dan minuman citarasa tempatan dan antarabangsa sekali gus memberikan pengalaman membeli-belah, makan dan minum yang selesa untuk para penumpang dan masyarakat setempat.
Setiap pengunjung yang datang ke sini wajib mendaftar bagi tujuan penjejakan kontak melalui imbasan kod QR, memakai penutup hidung dan mulut serta pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki lapangan terbang.
Sumber: Bernama