Lapan Lokasi Menarik Untuk Dikunjungi Sekitar Perak

Share

Ketika diundang ke Perak bersama media lain sempena promosi Tahun Melawat Perak, hati berbaur suka untuk melihat tarikan dan keistimewaan yang ada di negeri ini. Biarpun penulis berasal dari Perak namun masih banyak lokasi yang belum diterokai. Kembara kali ini memberi pengalaman baru untuk mengintai lokasi pelancongan popular dan jadi tarikan.

Stesen Kereta api Ipoh

Stesen Kereta api Ipoh yang dibina pada 1914 ini masih utuh bukan sahaja sebagai bangunan bersejarah, tetapi juga bangunan yang berfungsi menerima kereta api elektrik untuk bandar ini.

Digelar sebagai Taj Mahal Ipoh, bangunan putih ini dibina oleh AB Hubback , arkitek sama yang membina bangunan stesen Kereta api Kuala Lumpur. Ia sepatutnya digunakan sebagai hospital, tetapi akhirnya diubah menjadi stesen kereta api yang menempatkan kafe kecil dan hotel 21 bilik (kini ditutup).

Jika ke kawasan dataran di hadapan stesen, anda akan dapat melihat tugu kenangan yang dibina bagi memperingati mereka yang meninggal dunia akibat kerahan tenaga kejam di zaman penjajahan Jepun ini.

Ipoh Town Hall

Ia merupakan sebuah bangunan yang bergaya Neoklasik yang direka oleh AB Hubback yang juga membina Stesyen Kereta Api Ipoh. Dahulu Ipoh Town Hall digunakan sebagai pejabat pos dan telegraf, namun kini ia menjadi lokasi untuk mengadakan majlis perkahwinan, konsert dan acara rasmi yang lain. Ia menjadi salah satu destinasi yang wajib anda kunjungi.

Concubine Lane

Membawa anda ke tahun 1892 di mana pekan lama Ipoh dibina semula pada tahun 1892 selepas hangus terbakar. Concubine Lane terdiri daripada beberapa lorong kedai yang masih mengekalkan seni bina dan kenangan terdahulu. Hari minggu meriah di Concubine Lane di mana anda boleh membeli pelbagai cenderamata, makanan, ais kepal, tau fu fah, gula kapas dan sebagainya. Di kawasan ini juga terletak banyak kafe-kafe hipster tumpuan muda mudi serta butik hotel dengan rekaan tersendiri.

 Kinta Riverfront

Mini I-City ini juga terletak di tengah-tengah pusat bandar Ipoh. Bukan sahaja dilimpahi cahaya berwarna-warni lampu LED, Kinta Riverfront terletak di persisiran Sungai Kinta dan menjadi destinasi keluarga dan muda-mudi menghabiskan malam mereka. Penat berjalan, anda boleh cuba aktiviti berbasikal di sekitar kawasan Kinda Riverfront dan Taman DR Seenivasagam.

Lukisan Mural

Ipoh juga popular dengan tarikan terbarunya iaitu Street Art atau Seni Lukis Jalanan yang terdapat pada dinding bangunan sekitar Ipoh. Pelbagai lukis dinding jalanan atau mural anda dapat lihat di dinding bangunan di Ipoh.

Masjid Ubudiah

Masjid Ubudiah terletak di Bukit Chandan Kuala Kangsar . Direka oleh AB Hubback iaitu arkitek sama yang mereka Stesen Keretapi Ipoh dan Kuala Lumpur, masjid ini dibina dengan menggunakan batu marmar yang diimport khas dari Itali. Ia dibangunkan pada tahun 1913, tetapi pembinaannya tergendala dan hanya disiapkan pada 1917. Ini kerana marmar import itu lewat tiba kerana tercetusnya Perang Dunia Pertama.

Galeri Sultan Azlan Shah

Di sini anda bukan sahaja boleh melihat barangan peribadi pemerintah, tetapi belajar sejarah kehidupan mantan sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Di dalam bangunan yang merupakan bekas istana ini, anda dapat melihat pelbagai koleksi dan sejarah berkenaan Sultan Azlan. Ia bermula daripada waktu persekolahannya, karier beliau sebagai pengamal undang-undang serta minat mendalam beliau terhadap sukan hoki.

Anda juga dapat melihat cop mohor sultan, alat kebesaran seperti koleksi keris sehinggalah kereta diraja dan kereta peronda yang digunakan dalam gerombolan beliau.

Istana Kenangan

Istana Kenangan yang terletak di Kuala Kangsar tidak jauh dari Galeri Sultan Azlan Shah. Dibina pada tahun 1926 untuk Sultan Iskandar Syah oleh seorang tukang kayu Melayu yang bernama Encik Sepian, istana ini juga dikenali sebagai Istana Lembah disebabkan oleh lokasinya.

Menjadi kediaman rasmi sementara bagi keluarga diraja Perak dari 1931 sehingga 1933, sementara menanti Istana Iskandariah siap.Mulai tahun 1986, fungsi istana ini telah ditukar dari istana kepada muzium diRaja Perak.

Istana ini dibina tanpa menggunakan sebarang paku. Dindingnya diperbuat daripada tepas dan atapnya diperbuat dari kayu papan. Jika dilihat dari atas, bangunan ini akan kelihatan seperti sebilah keris yang tersimpan dalam sarungnya,sesuai dengan fungsinya sebagai istana diRaja.

Oleh
putri.adila