Laluan Denai Baru Dibuka Untuk Ke Puncak Bohey Dulang. Laluan Ini Dikatakan Lebih Selamat

Share

Baru-baru ini Libur ada siarkan tentang kecantikan destinasi Pulau Bohey Dulang. Klik di sini untuk membaca artikel penuh. Selain membuat aktiviti selam skuba, snorkeling atau bersantai di persisiran pantai, pengunjung juga dicadangkan untuk mendaki ke puncak Bohey Dulang untuk menyaksikan pemandangan dari atas yang sangat mempesonakan.

Ramai yang teruja untuk sampai ke puncak untuk menyaksikan sendiri rupa bentuk sekeliling Bohey Dulang yang indah. Disebabkan itu, laluan untuk ke puncak dikatakan agak sesak. Oleh itu, laluan denai baru telah diwujudkan dan dibuka kepada umum untuk menjamin tahap keselamatan pengunjung.

Laluan denai baharu pendakian ke puncak Pulau Bohey Dulang sejauh 700 meter ke puncak itu dirasmikan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman Taman Sabah (TTS), Mohd Amin Abd Mem. Mohd Amin ketika ditemui berkata laluan itu dibina oleh TTS dalam tempoh dua minggu dan sudah dicuba dan diperiksa dari segi keselamatan sebelum dibuka kepada pengunjung.

Denai pendakian yang baharu ini bertujuan untuk mengurangkan kesesakan pendaki dan kerosakan denai selain meningkatkan tahap keselamatan pengunjung termasuk had daya tampung denai ke puncak Bohey Dulang. Denai pertama yang dibuka sejak 2011 akan menjadi laluan pengunjung untuk turun dari puncak.

Laluan pendakian baharu itu lebih landai dan agak jauh berbanding laluan lama yang tinggi tetapi pendek. Kedua-dua laluan ini pasti akan memberi cabaran pendakian yang berbeza dan memuaskan.

Pulau Dohey Dulang merupakan antara lapan pulau yang diwartakan di bawah Taman Marin Tun Sakaran selain Pulau Sibuan dan Pulau Mantabuan yang juga menerima kunjungan pelancong ramai.

Sumber: frontdesk

Oleh
Husna