Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia pada Mac 2020 lalu susulan pandemik COVID-19 memberi ‘hikmah’ kepada alam dan haiwan.
Ia berikutan aktiviti manusia yang menyumbang kepada kemusnahan dan kerosakan alam sekitar dapat dikawal kepada tahap minima. Ini terbukti apabila Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang di Dungun merekodkan peningkatan jumlah pendaratan penyu sebanyak 3,783 dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.
Menurut laporan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang ia adalah peningkatan hampir 70 peratus berbanding 2,573 pendaratan penyu dalam tempoh yang sama tahun lepas. Mereka tidak menolak kemungkinan bahawa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan telah meningkatkan pendaratan penyu di Terengganu kerana kurangnya gangguan di pantai sepanjang tempoh berkenaan.Daripada jumlah 3,783 pendaratan itu, 3,780 adalah pendaratan penyu Agar manakala tiga lagi adalah pendaratan penyu Karah.
Selain itu, pantai pendaratan penyu utama di negeri Terengganu sememangnya telah diletakkan notis larangan orang awam berada di pantai bermula pukul 5.00 petang sehingga 8.00 pagi. Oleh itu, perubahan trafik orang awam ke pantai sangat minimum sama ada sebelum atau sepanjang tempoh PKP.
Bagaimanapun, impak PKP sangat positif terutama di pulau-pulau peranginan kerana trafik bot pelancong berkurangan dengan mendadak dan kesannya dapat dilihat dengan berkurangnya laporan kematian penyu kerana terkena kipas bot
Berdasarkan rekod dan kerja pemuliharaan penyu yang telah dijalankan sejak tahun 1990-an yang mana beberapa tempat telah dijadikan pusat pemuliharaan penyu, Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang juga tidak menolak kemungkinan anak penyu yang telah ditetaskan pada tahun 2000 telah mula naik mendarat pada tahun ini setelah mencapai tempoh matang untuk bertelur. Itu juga mungkin menjadi punca pendaratan penyu meningkat.
Jika perkara ini benar, maka, lambakan penyu akan bermula tahun 2020 dan akan terus menerus meningkat untuk tahun-tahun mendatang. Pendapat ini juga berasaskan kepada pendaratan di Pulau Redang yang bermula pada tahun 1993 dan berlaku peningkatan pendaratan penyu pada tahun 2013 iaitu selepas 20 tahun program pemuliharaan dilaksanakan.
Sumber: Bernama