Pergi sana ada durian, pergi sini ada durian. Biasalah tengah musim durian, harga pun boleh dapat dengan murah. Masing-masing berlumba nak makan durian. Untuk yang tidak makan durian, bertabahlah untuk sama-sama berkongsi aroma yang bagitu harum dan sedap ini ya!
Antara banyak-banyak durian, ramai yang suka makan durian jenis musang king. Kiranya durian musang king ini bukan calang-calang orang berpeluang untuk rasa kerana harganya yang agak mahal. Durian musang king atau nama asalnya ‘Raja Kunyit’, mempunyai isi berwarna kuning pekat, duri bersegi manakala pangkal tangkai tidak berduri dan garisan pangsa jelas pada kulit.
Masyarakat Cina tempatan gemar menggelarkan raja buah itu sebagai Mao Shan Wang, yang bermaksud raja kucing gunung iaitu merujuk kepada bentuk isi durian mirip posisi kucing tidur.
Panggilan itu terus digunakan secara meluas sehingga perkataan Mao Shan ditukar kepada sebutan Musang dan Wang ditukar kepada King yang dikenali sebagai Musang King hingga kini. Jika di Malaysia, durian jenis ini banyak di dapati sekitar Raub, Pahang.
Cara Beli Durian Musang King Sebenar
Sebagai pembeli perlu sentiasa berhati-hati dalam membeli durian Musang King supaya tidak ditipu penjual. Musang King cukup diminati penggemar durian hingga dijual mahal bermula RM50 sekilogram di pasaran atau 30 hingga 40 peratus lebih mahal daripada durian biasa. Malah sesetengah peniaga cuba mengaut keuntungan mudah dengan mendakwa menjual Musang King, walhal ia baka lain.