Kucing Positif COVID-19 Tanpa Gejala Boleh Jangkiti Kucing Lain- Kajian

Share

Untuk pemilik haiwan comel seperti kucing, sila ambil perhatian ya!

Kucing didapati boleh menjangkiti kucing lain dengan COVID-19 walaupun mungkin tidak menunjukkan sebarang simptom.


Kajian terbaharu itu diterbitkan dalam New England Journal of Medicine itu dijalankan oleh Yoshihiro Kawaoka, pakar virus terkemuka dari Universiti Tokyo serta saintis lain dari Universiti Wisconsin. Mereka, bagaimanapun, mendapati masih tiada bukti kukuh yang menunjukkan kucing boleh menyumbang kepada penularan COVID-19, lapor AP.




Dalam kajian itu, pengkaji menjangkiti tiga kucing dengan virus tersebut. Selepas ketiga-tiga kucing itu bergaul dengan kucing lain yang sihat selama beberapa hari, kucing lain dikesan turut dijangkiti virus berkenaan. Namun, tiada seekor kucing yang terlibat menunjukkan simptom lazim seperti perbezaan suhu badan atau kehilangan berat badan.

“Melihat kepada keperluan untuk menghentikan pandemik koronavirus ini melalui pelbagai mekanisme, pemahaman lebih mendalam tentang bagaimana kucing boleh menyebarkan SARS-CoV-2 kepada manusia adalah perlu,” kata kumpulan pengkaji itu kepada New England Journal of Medicine.

Dalam pada itu, belum ada bukti yang menunjukkan COVID-19 boleh dijangkiti dari haiwan ke manusia. Sebelum ini, dua kucing pertama di New York yang disahkan positif wabak itu menunjukkan sedikit simptom respiratori, namun dijangka akan pulih sepenuhnya. Selain itu, tiga singa dan harimau di Zoo Bronx, New York turut didapati positif virus berkenaan.


Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) menyarankan agar pemilik memastikan haiwan peliharaan mereka kekal di dalam rumah serta mengamalkan penjarakan sosial sekiranya perlu dibawa keluar.

Sumber: astroawani

Oleh
Husna