Kuala Lumpur Pernah Jadi Milik Selangor

Share

Negeri Selangor pada awal petempatannya terletak di sebuah kuala sungai yang kini dikenali sebagai Kuala Selangor dan bukan sebuah negeri seperti hari ini.

Walau sejarah awalnya masih kabur, namun pengkaji sejarah bersetuju bahawa Selangor memiliki warisan sejarah yang mendahului zaman Kesultanan Melayu Melaka selama lebih seabad. Ketika kegemilangan Empayar Melaka, kawasan Selangor adalah antara yang termasuk dalam jajahan takluk Melaka sebagaimana tercatatnya nama Klang, Jeram dan Bernam dalam Sejarah Melayu oleh Tun Sri Lanang.

Apa yang lebih menarik, Kuala Lumpur juga merupakan sebahagian daripada daerah di Selangor. Ini info menarik yang dikongsikan menerusi sumber Media Selangor

dan Selangor Royal Office

  • Tanggal 1 Februari 1974, Sultan Selangor ke-8, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj telah melakukan pengorbanan besar demi kepentingan negara.
  • Baginda berkenan untuk menyerahkan kawasan Kuala Lumpur yang selama ini menjadi ibu negeri Selangor dan sebahagian daripada kedaulatan Kerajaan Negeri Selangor, kepada Kerajaan Persekutuan untuk dijadikan pusat pentadbiran dan Ibu Negara Malaysia.



  • Sesungguhnya, bukan suatu perkara dan isu mudah untuk merealisasikan proses pemindahan dan penyerahan kawasan Kuala Lumpur seluas 4,931 hektar ini kepada Kerajaan Pusat. Ini kerana ia membabitkan hak fizikal dan kedaulatan yang dimiliki Sultan Selangor terhadap kawasan berkenaan.
  • Perbincangan demi perbincangan diadakan. Warkah demi warkah bertukar tangan. Akhirnya persetujuan dicapai antara kedua pihak di mana Sultan Selangor sedia bertolak ansur susulan draf terakhir “Perjanjian Kuala Lumpur 1974”. Bagi Almarhum Sultan Salahuddin, pertimbangan Baginda dibuat bersandarkan faktor bahawa Malaysia perlu memiliki sebuah ibu negara yang strategik serta mempunyai kemudahan serba lengkap pada ketika itu, di mana Kuala Lumpur memenuhi kriteria yang diperlukan.
  • Paling penting, Baginda menegaskan bahawa kepentingan negara mengatasi segala-galanya. Apatah lagi, Baginda menjangkakan kemajuan yang bakal dicapai Kuala Lumpur akan menjadi simbol kemajuan seluruh Malaysia.
  • Sebagai galang gantinya, Kerajaan Persekutuan turut bersetuju menyokong penubuhan dan membantu pembangunan ibu negeri Selangor yang baharu, Shah Alam, yang dinamakan sempena Sultan Selangor ke-7, Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah.
  • Istiadat memeterai perjanjian penyerahan ini pada 1 Februari 1974 disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi pihak Kerajaan Pusat dan Sultan Selangor bagi pihak kerajaan negeri, disaksikan oleh Raja-Raja Melayu dan Ketua-Ketua Negeri.
  • Sempena memperingati peristiwa bersejarah ini, sebuah pintu gerbang dibina di Lebuhraya Persekutuan yang memisahkan Selangor dan Kuala Lumpur dinamakan Kota Darul Ehsan.



Oleh
Husna