Berita

KTMB Perkenal Tren Ekspres Khas Ke Pantai Timur, Tambah Dua Perkhidmatan ETS Sempena Aidilfitri. Tiket Dah Mula Jual Hari Ini!

Share

Risau tak dapat balik beraya kerana tiada tiket, khas untuk orang Pantai Timur, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) perkenalkan memperkenalkan satu perkhidmatan tren khas bagi laluan Pantai Timur serta menyediakan dua perkhidmatan tren elektrik (ETS) tambahan sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin berkata tren khas laluan Pantai Timur dikenali sebagai Ekspres Khas Keluarga Malaysia itu akan membuat perjalanan pada 29 April ini bermula dari Stesen KL Sentral ke Stesen Tumpat dan sebaliknya.

Katanya, ia adalah inisiatif Kementerian Pengangkutan Malaysia dan KTMB dengan membawa slogan ‘Maghi Kelek Kampung’ sebagai salah satu pengangkutan alternatif untuk mereka yang akan pulang berhari raya dengan selamat, selesa serta tambang berpatutan.

“Sebanyak 516 tiket ditawarkan untuk tren khas ini dan tren pertama akan berlepas pada 29 April, jam 11 malam dari Stesen KL Sentral dan akan berhenti di 17 stesen seperti Bandar Tasik Selatan, Kajang, Nilai, Seremban, Pulau Sebang, Mentakab, Jerantut, Gua Musang, Pasir Mas dan Tumpat

“Tren ini dijangka akan tiba di Stesen Tumpat pada 30 April, jam 3.55 petang, manakala perjalanan balik dari Stesen Tumpat adalah pada 7 Mei, jam 10 malam dan akan tiba di Stesen KL Sentral pada 8 Mei, jam 3.04 petang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata tren ini adalah perkhidmatan istimewa dari KTMB untuk Keluarga Malaysia yang ingin pulang dengan keselesaan dan menjimatkan masa.

“Tren khas ini bakal dilengkapi dengan koc katil, koc tempat duduk premier dan superior, koc buffet dan koc chillax untuk aktiviti solat dan moreh beramai-ramai.

“Tiket akan dijual pada 15 April (esok) dengan harga bermula RM55 sehingga RM83 bagi perjalanan sehala, cenderahati juga akan diberikan kepada penumpang yang membuat perjalanan dengan tren khas ini,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dilaporkanberkata perkhidmatan tren khas itu diwujudkan sebagai mengurangkan kesesakan jalan raya yang diramal berlaku pada sambutan Aidilfitri tahun ini.

“Secara lazimnya, setiap kali musim perayaan terutamanya Aidilfitri, kesesakan jalan raya bakal dihadapi warga Pantai Timur dan pada tahun ini, kita jangkakan pertambahan trafik drastik kerana sudah dua tahun tidak pulang beraya.

“Oleh itu, dengan adanya perkhidmatan ini ia dapat mengurangkan kesesakan dan memberi jaminan keselesaan serta keselamatan kepada Keluarga Malaysia,” katanya.

Mengenai tren ETS tambahan, Mohd Rani Hisham berkata sebanyak 4,368 tiket disediakan untuk perkhidmatan itu membabitkan perjalanan KL Sentral – Padang Besar dan sebaliknya pada 29 April hingga 2 Mei dan 6 Mei hingga 8 Mei.

“Perkhidmatan tambahan ini berikutan status jualan tiket pada tarikh berkenaan sudah habis dijual.

“Jualan tiket bagi tren tambahan ini akan mula dijual pada 15 April (esok) dan pengguna disarankan membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau menerusi laman sesawang KTMB,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-22671200 atau melayari saluran media baharu KTMB.

 

 

Oleh
SAHR