KTMB Kenalkan Sistem Tiket Baharu Dalam Talian Bermula 17 Ogos 2020

Share

Ada berita baik buat anda yang seringkali ‘patah hati’ ketika membuat tempahan atas talian tiket perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), dek kerana sistemnya yang sentiasa sesak.

Bermula 17 Ogos 2020, KTMB akan memperkenalkan sistem tiket baharu secara dalam talian bagi meningkatkan mutu penjualan tiket. Sistem baharu itu diharap dapat mengurangkan masalah kesesakan penjualan tiket di kaunter selain memudahkan pengguna membeli tiket secara dalam talian.

Sistem dikenali sebagai KTMB Integrated Ticketing System (KITS) itu diharap dapat meningkatkan jumlah pembelian tiket secara dalam talian dengan lebih lancar dan terjamin.
Masalah dihadapi sebelum ini berlakunya kesesakan penjualan tiket kerana terlalu ramai pengguna dalam talian pada satu-satu masa. Maka untuk elakkan perkara itu terjadi lagi, KTMB akan menggunakan teknologi cloud untuk memudahkan pengguna membeli tiket di kaunter atau secara dalam talian di rumah.

Dikesempatan itu, sempena ulang tahun kedua-dua perkhidmatan KTMB, tiket percuma akan diberikan kepada 25 penumpang pertama yang akan menaiki komuter di setiap stesen KTM Komuter Lembah Klang pada 25 Ogos 2020 ini. 

Perkhidmatan KTM Komuter kini menjangkau usia 25 tahun manakala tahun ini merupakan ulang tahun ke-10 bagi perkhidmatan ETS. Bermula dengan laluan antara Rawang (Selangor) dan Kuala Lumpur pada 3 Ogos 1995, kerajaan ketika itu memutuskan memberi perkhidmatan (Komuter) percuma untuk 11 hari pertamanya kepada rakyat. Jasanya (Komuter) beroperasi tujuh hari seminggu selama 25 tahun itu, telah membolehkan lebih 742 juta penumpang tiba ke destinasi masing-masing.

Komuter sebagai pengangkutan kereta api elektrik pertama diperkenalkan di Malaysia. Sejak dilancarkan pada 2010 antara Kuala Lumpur dan Ipoh (Perak), ETS pula telah membawa lebih 23 juta penumpang sehingga kini. Operasinya juga telah merangkumi di Negeri Sembilan, Melaka, Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Sumber: Bernama

Oleh
Husna