Majalah Libur bersimpati dengan nasib yang menimpa negara jiran Indonesia kerana situasi banjir teruk yang melanda. Sekurang-kurangnya 24 orang mangsa dilaporkan terkorban dalam banjir yang melanda Jakarta, ibu kota Indonesia sejak empat hari lalu.
Buat rakyat Malaysia yang bercadang ke Jakarta, mungkin boleh tangguhkan sementara perjalanan anda ke sini. Selain beberapa kawasan di ibu negara Jakarta, kawasan di bandar berhampiran Jakarta seperti Tangerang, Depok, Bekasi dan Bogor, turut mengalami banjir semalam berikutan hujan lebat pada awal pagi tahun 2020.
Mereka yang menjadi mangsa korban itu antaranya mengalami hipotemia, lemas dihanyutkan arus, tertimbus akibat tanah runtuh dan terkena renjatan elektrik. Beberapa kawasan banjir di Jakarta sudah beransur pulih, namun masyarakat diminta berjaga-jaga berikutan hujan diramalkan berterusan minggu ini.
Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) dalam satu kenyataan menyatakan antara punca banjir itu adalah hujan lebat ekstrem yang mencatatkan bacaan 377 milimeter (mm), sedangkan rekod tertinggi pada 2007 mencatatkan bacaan 340 mm.
Beberapa jalan utama di Jakarta seperti masih tidak dapat digunakan kerana digenangi air, antaranya di Simpang Cempaka Mas, Jalan S Parman, Jalan Rasuna Said, Jalan Pemuda Rawamangun dan Jalan Gatot Subroto.
Lapangan terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta Timur yang tidak dapat beroperasi kerana digenangi air, telah kembali beroperasi sepenuhnya semalam.
Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta meminta rakyat Malaysia yang sedang bercuti atau menetap di Jakarta dan kawasan sekitar mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan dan jika memerlukan sebarang bantuan konsular, boleh menghubungi kedutaan Malaysia di talian +62 813 80813036.