Berita

‘Kopi-O’ Diangkat Jadi Maskot Pelancongan Negeri Perak

Share

Satu daripada binatang terancam yang ada di Malaysia iaitu Tapir Malaya diangkat menjadi maskot pelancongan negeri Perak. Berita daripada akhbar The Star melaporkan satu lakaran grafik berupa Tapir Malaya yang dinamakan ‘Kopi-O’ itu telah dicipta oleh seorang pereka grafik berusia 21 tahun, Wan Sue Khay.

Tapi, kenapa Tapir Malaya? Wan menjelaskan kenapa beliau memilih Tapir Malaya adalah kerana haiwan tersebut kini diancam kepupusan. Laporan pada tahun 2017

menunjukkan populasi Tapir Malaya kini hanya 1,200 hingga 1,500 ekor sahaja di semenanjung.

Oleh yang demikianlah kenapa Wan menjadikan Tapir Malaya sebagai model utama dalam penghasilan lakaran grafik beliau. Selain itu, warna Tapir Malaya yang hitam dan putih menyebabkan Wan memanggil ia sebagai ‘Kopi-O’, turut sinonim dengan kopi sebagai minuman yang terkenal di Ipoh.

Wan Sue Khay menerima hadiah daripada Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Perak, Tan Kar Hing sambil diiringi CEO Tourism Perak, Zuraida Md Taib – gambar The Star

Maskot yang dinamakan ‘Kopi-O’ itu dilihatkan dapat berhubung kepada masyarakat dengan lebih dekat dan seterusnya mewujudkan kempen kesedaran secara tidak langsung bahawa Tapir Malaya kini berada diambang kepupusan.

Wan yang menang dalam pertandingan mereka maskot pelancongan negeri Perak itu membawa pulang wang berjumlah RM5,000 berserta sijil, hadiah penginapan hotel dan baucer Kellie’s Castle selepas mengenepikan 42 peserta yang lain.

Pengurusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, dan Kebudayaan Negeri Perak, Tan Kar Hing akan menjadikan Tapir Malaya ini sebagai maskot yang mempromosikan negeri Perak tidak kira di dalam ataupun di luar negara.

“tapir malaya ini hanya boleh dijumpai di Asia tenggara dan sejarah menunjukkan ia sudah lama wujud di negeri perak.

salah atu buktinya ada lukisan pra-sejarah yang terdapat di gua tambun, menggambarkan tapir sudah ada sejak era neolithic” – Tan kar hing

Diharap dengan kewujudan maskot baru ini, masyarakat terutama di negeri Perak akan lebih peka terhadap alam sekitar dan turut sama menyumbang dalam usaha untuk memulihara dan memelihara habitat alam semula jadi.

 

Oleh
Epul