Jika anda berada di Pulau Pinang, anda pasti dapat melihat kelibat ikon bangunan tinggi KOMTAR bertukar berwarna.
Cahaya lampu berwarna merah menerangi bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), di Pulau Pinang sebagai tanda menghargai jasa semua jururawat di atas pengorbanan mereka membantu menangani penularan pandemik COVID-19.
Kerajaan negeri mengambil inisiatif itu sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia 2020 yang disambut pada 12 Mei setiap tahun. Pemilihan warna merah melambangkan keberanian yang dimiliki oleh para jururawat dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab meskipun negara kini berhadapan dengan detik yang sukar akibat ancaman COVID-19.
Warna merah juga melambangkan penghargaan tertinggi rakyat Pulau Pinang kepada semua jururawat dan pekerja perubatan serta warna riben yang dipilih untuk sambutan Hari Jururawat Sedunia 2020 itu. Bangunan ikonik negeri Pulau Pinang itu dinyalakan dengan lampu warna merah bermula malam tadi dan hari ini, dari pukul 8 malam hingga 12 tengah malam.
Sumber: Bernama