Indah panorama loka tatkala menyusuri bumi penuh khazanah ini. Batang Lupar, Sarawak bukan sekadar menyimpan misteri Bujang Senang yang digeruni malah menyingkap sejuta keindahan, pesat pembangunan juga manis kemesraan masyarakatnya.
Mana bisa penulis lupa pada momen-momen bersama 40 pengamal media tempatan tatkala menyertai Kembara Batang Lupar 2017. Acara yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Unggah Embas bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyrakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim telah melepaskan peserta Kembara Batang Lupar 2017 di majlis perasmian Kembara Batang Lupar 2017 anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di Hotel Pullman Kuching.
Antara tempat menarik yang dilawati peserta ialah perusahaan memproses obor-obor di Kampung Sampat, Sebuyau, Taman Negara Maludam, perusahaan madu kelulut di Kampung Beladin dan tempat-tempat lain. Bagi memberi pengalaman sebenar cara hidup di rumah panjang, para peserta turut bermalam di Rumah Panjang Kampung Belimbing Besi.
Bersama Maskulin kami berikan lima bukti kepimpinan seorang wanita dalam mengubah kondisi kawasan di bawah naungannya sehingga menjadi satu tarikan yang tidak mungkin mampu dilupakan.
KERANCAKAN INFRASTRUKTUR MEMACU EKONOMI SETEMPAT
Pembangunan ekonomi menjadi tunjang utama mengapa kami ke sini, melihat penduduk di sini rata-rata menjadikan sumber alam sebagai punca pencarian utama mereka. Jadi tidak hairan betapa tingginya nilai cinta mereka pada anugerah tuhan ini.
Melihat sendiri bagaimana mereka mencari udang di selut sungai tanpa menghiraukan kehadiran pemangsa ganas buaya sangat membuatkan penulis kagum. Berani dan inilah cara mereka meneruskan hidup di sini.
Walaupun begitu, pembangunan turut direncana rapi agar seimbang dengan kemajuan dunia. Ikoniknya di sini, laluan air telah menjadi laluan utama masyarakat setempat sejak sekian lama, ia dilihat sedikit merencatkan perkembangan pembangunan.
Atas inisiatif ahli Parlimennya, kerancakan ekonomi akan diteruskan dengan adanya Projek Jambatan Batang Lupar dijangka akan mula dibina pada 2018. Jambatan ini akan menjadi jambatan terpanjang di Sarawak iaitu antara 4.5 kilometer hingga 5 kilometer.
Mengikut perancangan jambatan baharu ini akan dibina pada 2018 dan ia akan mengambil masa beberapa tahun untuk disiapkan. Kami cukup bertuah kerana laluan air yang kami lalui akan berubah wajah suatu hari nanti, pengangkutan feri yang disediakan akan ini menjadi nostalgia dan daya tarikan tersendiri akan datang.
Jambatan merentasi Batang Lupar ini akan menghubungkan Sebuyau ke Meludam dilihat sebagai rantaian terbaik dalam ekosistem pembangunan ekonomi penduduk setempat.
LESTARI PEMBANGUNAN SAHSIAH MASYARAKAT
Walaupun lesu dengan pengisian aktiviti yang diberikan, kami masih sempat meluangkan masa dan tersenyum melihat aktiviti juga agenda pembangunan sahsiah masyarakat di sini. Dari golongan anak kecil, ibu tunggal hinggalah orang tua, semuanya mendapat bantuan dan perhatian istimewa daripada ahli Parlimen Datuk Seri RohaniAbdul Karim.
Ketibaan kami di setiap Pusat Khidmat Masyarakat disambut meriah. Salah satunya adalah di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) yang merupakan tempat bagi warga emas menjalankan aktiviti harian dalam komuniti.
Menyediakan perkhidmatan bercorak pendampingan sosial (reaching out) dan pembangunan (developmental) kepada warga emas melibatkan kerjasama strategik antara KPWKM dengan agensi kerajaan yang lain serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Selain itu juga ia dilihat sebagai menjadi sebuah program sokongan sosial dan pengintegrasian warga emas bersama keluarga ia juga menjadi pusat pertemuan golongan berumur 60 tahun ke atas bagi menjalani aktiviti serta mengelak rasa sunyi.
Setakat ini terdapat 150 Pusat Aktiviti Warga Emas di seluruh negara dan 14 di negeri Sarawak. Akan datang Datuk Seri Rohani turut ingin mewujudkan lebih banyak lagi PAWE atas kesedaran kepentingan warga emas dalam pembangunan negara.
Selain memartabatkan warga emas, ibu tunggal juga dilihat sebagai pemangkin ekonomi setempat yang tidak wajar dipinggirkan. Disebabkan itu, kehadiran Teratak Anugerah yang dibangunkan Persatuan Ibu Tunggal Sarawak di Beladin, ini diwujudkan demi membela nasib golongan berkenaan di kawasan itu.
Teratak tersebut dibangunkan sejak 2007 dan menjadi pusat membangunkan dan mengembangkan pendapatan golongan ibu tunggal di sini. Bukan itu sahaja bagi ibu tunggal dan mereka yang kurang pendapatan juga boleh mempelajari seni jahitan di Baladin Fashion Centre (BFC) .
Di sini penuntut akan diajar teknik asas melukis sehingga menjahit pakaian. Kelas jahitan ini adalah satuinisiatif positif yang wajar diberikan pujian!
BANTUAN BUAT PENGUSAHA KECIL
Memegang dan merasai sendiri menu yang dihasilkan daripada hidupan laut seperti ubor-ubor adalah suatu yang baru buat penulis. Ada tikanya terasa geli untuk mencuba, tetapi selepas merasainya, hmm tidaklah seteruk yang disangka.
Kami singgah seketika di Kampung Sampat, Sebuyau untuk melihat bagaimana ubor-ubor diproses dan menjadi sumber ekonomi terpenting di kawasan tersebut dan hebatnya ia mendapat permintaan yang sangat tinggi di negara Jepun, China, Taiwan dan Korea.
Pemiliknya Lee Na Moh, 34, merupakan generasi keempat dari keluarganya yang melakukan perniagaan ini mengakui persaingan terhadap produk ini kurang persaingannya dan ia membuka jalan rezeki buatnya di situ. Di kilangnya terdapat 12 ibu tunggal bekerja dan melakukan aktiviti memerap dan membersihkan ubor-ubor.
Sementara itu, di Kampong Tambak yang terletak di daerah Pusa, kami bertemu dengan Abang Manaf Mahmud yang mengendalikan perusahaan memproses gula nipah secara kecil-kecilan. Air nira nipah dimasak lebih enam jam sebelum menjadi likat untuk menjadikannya gula nipah atau juga dikenali sebagai gula apong dalamkalangan penduduk setempat.
Lihatlah bagaimana mereka menghargai sumber alam dan menggunakan ia dengan sebaiknya. Bantuan turut disalurkan daripada ahli Parlimen kepada pengusaha-pengusaha kecil ini untuk memasarkan produk mereka.
PEMULIHARAAN EKSOTIKA ALAM
Pengamal media turut dibawa menyusuri tarikan paling menggerunkan di Kampung Maludam iaitu Taman Negara Maludam yang berkeluasan 43,147 hektar yang terletak dari kawasan Maludam sehingga ke Triso. Airnya yang deras dan berwarna gelap cukup membuatkan kami gusar dengan keselamatan juga haiwan ganas yang sudah lama bertapa di situ.
Keluasan Taman Negara Maludam merangkumi kawasan Batang Saribas ke Batang Layar dan terus ke Batang Lupar. Di taman negara ini terdapat kawasan Hutan Simpan Maludam yang berkeluasan 16, 592 hektar.
Mengikut Kajian, Maludam mempunyai muka bumi berpaya yang terbesar di Utara Borneo. Justeru itu, ia kaya dengan pelbagai jenis habitat yang terlindung dan hampir pupus di Asia.
Antaranya ialah kera merah, kera belanda, burung raya dan sekurang-kurangnya empat spesies burung enggang. Selain itu juga terdapat lebih empat jenis spesies burung Kenyalang, bangau dan kera Proboscis.
Flora dan faunanya masih terpelihara biarpun kawasan ini pernah diancam oleh kegiatan pembalakan haram.
HARGAI PESONA BUDAYA
Tidak sah rasanya apabila panorama kami terhenti sekadar itu, kami turut disajikan dengan kepelbagaian budaya masyarakatnya yang sangat menyanjung tinggi ketibaan tetamu. Kunjungan ke rumah panjang kaum Iban di Kampung Belimbing Besi yang didiami 10 keluarga ini memberikan ceritera tersendiri.
Menyaksikan persembahan tarian Ngajat yang begitu sinonim dengan masyarakat Iban di Sarawak dan silat Kuntau sangat mengujakan. Mempunyai latar agama berbeza, penduduk di rumah panjang ini dilihat lebih moden dan menerima infrastruktur yang sangat baik dari pihak kerajaan.
Jika selama ini kami fikir kehidupan mereka daif di sana, ia meleset kerana kehidupan mereka lebih baik malah dilihat selesa. Kalau mahu merungut pun, mungkin hanya kerana talian telefon untuk berkomunikasi sedikit sukardi sini, namun itu ada baiknya untuk kami semua menghargai kemesraan juga kebaikan orang di rumah panjang itu yang hidup saling menghormati dan bermasyarakat.
Adunan pembangunan, kemajuan dan pemuliharaan alam sekitar serta budaya dilihat menjadi tunggak utama. Sangat lestari dan mempunyai matlamat tersendiri bagi memenuhi keperluan masa kini tanpa menjejaskan keupayaan generasi akan datang.Bahkan semua ini bukan mudah untuk membangunkan dan diterima baik semua, bagi kami, apa yang dilakukan kini biarlah berterusan agar segenap masyarakat mampu merasai manisnya.