Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 Lindungi Anda Sebagai Pengguna Penerbangan

Share

Tahukah anda yang anda sebenarnya dilindungi sebagai pengguna oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia daripada dieksploitasi oleh syarikat penerbangan?

Ya, anda sebagai penumpang syarikat penerbangan sebenarnya dilindungi oleh Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 melalui Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016.

Sekiranya anda mendapati diri anda dipergunakan oleh syarikat penerbangan dengan kelewatan penerbangan yang disengajakan dan sebagainya, anda boleh membuat aduan kepada suruhanjaya ini untuk memastikan hak anda sebagai pengguna penerbangan dipelihara.

Di dalam Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016, ada beberapa hak pengguna yang digariskan antaranya:

Penumpang tidak dibenarkan menaiki pesawat

  • Penumpang hendaklah ditawarkan secara percuma makanan, panggilan telefon yang terhad dan akses internet, penginapan hotel dan pengangkutan antara lapangan terbang dengan tempat penginapan.

Kelewatan penerbangan selama dua jam atau lebih

  • Penumpang hendaklah ditawarkan secara percuma makanan, minuman, panggilan telefon yang terhad dan akses kepada internet mengikut keadaan yang munasabah dengan waktu menunggu.

Kelewatan penerbangan selama lima jam atau lebih

  • Penumpang hendaklah ditawarkan secara percuma penginapan hotel selama satu malam atau lebih dan pengangkutan antara lapangan terbang dengan tempat penginapan tersebut.

Perkara-perkara tersebut adalah diantara hak pengguna yang dinyatakan di dalam Jadual Pertama Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 dan anda boleh membuat semakan melalui link yang disediakan.

Bagaimana cara untuk membuat aduan?

Anda boleh ke laman sesawang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia untuk membuat aduan sekiranya anda terlibat dengan masalah daripada syarikat penerbangan.

Di laman sesawang tersebut, anda akan lihat satu butang untuk membuat aduan dan jika anda tekan butang tersebut, anda akan dibawa ke laman sesawang FlySmart dan di sana, anda boleh membuat aduan mengenai masalah anda.

Laman sesawang FlySmart mempunyai segala informasi yang anda perlukan untuk membuat aduan mengenai masalah yang anda hadapi bersama syarikat penerbangan.

Anda digalakkan untuk membuat aduan secara terus kepada syarikat penerbangan, pengendali lapangan terbang atau pembekal perkhidmatan penerbangan terlebih dahulu sebelum membuat aduan kepada suruhanjaya.

Sekiranya aduan anda tidak diselesaikan dalam masa 30 hari, atau anda tidak berpuas hati dengan penyelesaian yang diberikan oleh pihak berkenaan, barulah anda membuat aduan kepada suruhanjaya untuk tindakan selanjutnya.

Sekarang dah tahu yang hak anda dilindungi sebagai pengguna penerbangan dan bagaimana untuk membuat aduan? Jadi ambil tahu perkara penting ini supaya tidak lagi dieksploitasikan oleh syarikat penerbangan.

Pautan terus untuk membuat aduan di laman sesawang FlySmart, klik di sini.

Sumber: Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016.

Oleh
Epul