Saban hari, perdebatan menjadi semakin sengit apabila masyarakat melihat kesan negatif daripada penggunaan beg plastik ini.
Terdapat beberapa kerajaan negeri tidak terkecuali untuk mengambil tindakan dalam usaha mengurang atau menghapuskan penggunaan beg plastik. Antara negeri yang terlibat ialah Pulau Pinang, Perak, Selangor, Johor dan Melaka.
Wilayah Persekutuan merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan juga telah mula mengenakan caj pencemaran sebanyak 20 sen mulai 15 Mac lalu. Caj berkenaan selaras dengan matlamat kerajaan untuk mengatasi masalah pencemaran sisa plastik melalui Pelan Hala Tuju Ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030 yang diterajui Kementerian Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).
MESTECC turut membenarkan semua kerajaan negeri termasuk Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mengenakan caj pencemaran sebanyak RM0.20 kepada setiap beg plastik yang digunakan oleh pengguna semasa membeli-belah.
Caj tersebut hanya boleh dikenakan ke atas setiap beg plastik biodegradasi manakala tindakan penguatkuasaan diteruskan kepada peniaga dan penjaja yang masih menggunakan beg plastik konvensional.
Pendekatan berkenaan bertujuan untuk memberi kesedaran dan perubahan minda kepada seluruh rakyat Malaysia amnya dan warga Wilayah Persekutuan khususnya mengenai keperluan perbelanjaan kerajaan untuk membersihkan pencemaran sisa plastik.
Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad berkata pendekatan tersebut diambil supaya dapat memberi kesedaran mengenai inisiatif hijau serta menjamin kelestarian alam sekitar. Sejak penggunaan produk biodegradasi (mudah terurai) di Wilayah Persekutuan, peniaga dan penjaja telah memberikan kerjasama yang baik dalam menjayakan inisiatif hijau itu.
Kementerian Wilayah Persekutuan berharap semua warga Wilayah Persekutuan positif dan dapat berganding bahu menjayakan inisiatif Pembangunan Teknologi Hijau Di Wilayah Persekutuan, jelasnya.
“Membawa beg sendiri semasa membeli belah amatlah digalakkan dan lebih memudahkan. Begitu juga sekiranya ingin membungkus makanan di kedai-kedai makan adalah digalakkan untuk membawa bekas sendiri. Larangan penggunaan straw plastik masih diteruskan manakala penguatkuasaannya akan mula dilaksanakan pada Januari 2020,” katanya lagi.
Sumber:Astro Awani