Berita

KL Banjir Lagi! Selepas 2 Bulan Kejadian Banjir Kilat, Kejadian Sama Berulang..

Share

Hujan lebat lebih dua jam petang semalam, mengakibatkan beberapa kawasan di ibu kota dilanda banjir kilat.

Ini kejadian kedua berlaku dalam tempoh dua bulan. Pada bulan September lalu limpahan Sungai Klang menyebabkan sekitar Masjid Jamek termasuk stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek serta hadapan Bank Muamalat Jalan Melaka yang terletak di tepi sungai itu kelihatan seakan pulau dengan beberapa kenderaan termasuk motosikal ditenggelami air. Foto-foto kejadian tersebut telah tular dan mengundang simpati seluruh rakyat Malaysia.

Semalam (17 November 2020) walaupun tidak seteruk banjir kilat pada September, namun turut mengakibatkan beberapa kawasan sekitar pusat bandar di Kuala Lumpur dilanda banjir kilat susulan hujan lebat sejak kira-kira jam 5 petang.

Keadaan itu menyebabkan beberapa kenderaan mengalami kerosakan dan situasi lalu lintas turut terjejas dan pengguna jalan raya juga berdepan kesesakan akibat banjir tersebut. Antara kawasan yang terlibat ialah Jalan Ampang, Jalan Munsyi Abdullah, Jalan Taman Setiawangsa, Jalan Kuching, Jalan Tuanku Abdul halim, Jalan Maharajalela dan Jalan Parlimen. Di Lebuhraya DUKE, seorang pengguna media sosial memuat naik video yang menunjukkan lebuh raya tersebut dinaiki air.

Berikutan keadaan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya berhati-hati ketika musim tengkujuh ini.

image via FB Warga Wilayah

Oleh
Husna