Ketika ini, ramai yang mengambil kesempatan untuk keluar membeli-belah sebagai persiapan menyambut hari raya walaupun secara berserdahana. Baju raya, kasut raya dan kuih raya disediakan sebagai tanda kita merayakan hari yang mulia setelah sebulan berpuasa.
Namun, yang menyedihkan ketika wabak COVID-19 sedang melanda, masih ramai yang berada di luar dan tempat sesak dengan membawa golongan yang berisiko tinggi dijangkiti pandemik ini.
Kementerian Kesihatan Malaysia menyokong usaha pasar raya tertentu yang meletakkan syarat had umur untuk memasuki premis mereka dalam usaha mencegah golongan berisiko tinggi terdedah kepada jangkitan Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, golongan berisiko tinggi adalah warga emas dan kanak-kanak. Definisi warga emas adalah golongan yang berusia 60 tahun ke atas dan sekiranya mempunyai sakit kronik lebih tinggi risiko untuk maut jika dijangkiti virus pandemik itu.
"Penyakit kronik contohnya kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung, risiko lebih tinggi. Untuk golongan kanak-kanak pula adalah yang berusia di bawah 12 tahun. Jika kita lihat di hospital pun pelawat berusia bawah 12 tahun tidak dibenarkan. Ini kerana kita bimbang ada jangkitan kuman di klinik atau hospital. Kalau boleh jangan bawa kanak-kanak yang berusia 12 tahun ke bawah dan warga emas berusia 60 tahun terutamanya berpenyakit kronik ke atas datang di tempat awam contohnya di hospital atau pasar raya," katanya.
Sumber: Bernama