Pernahkah anda terfikir untuk membawa kit pertolongan cemas ketika bercuti? Sekadar membawa minyak angin dan panadol di dalam beg kecil tidaklah memadai kerana setiap destinasi yang dituju berbeza situasi dan maklumlah berada di tempat orang belum tentu medatangkan keserasian. Apa yang patut ada di dalam kit pertolongan cemas anda?
Alahan
Pil yang mengandungi antihistamines sangat berkesan untuk menentang alahan, kegatalan, kemerahan mahupun gigitan serangga pada kulit. Losen calamine pula bertindak merawat kulit bengkak akibat kegatalan dan kulit yang alah secara tiba-tiba sekiranya anda tersilap makan.
Cirit-birit
Makanan yang tidak sesuai dengan perut anda atau termakan makanan tercemar ketika bercuti akan membuatkan percutian anda malang. Oleh itu, adalah penting jika anda terus mengekalkan hidrasi tubuh badan dengan meminum banyak air seperti dioralyte kerana ia mengandungi garam rehidrasi yang bertindak sebagai penyegar kerana kandungan gula dan garam (glukosa, natrium klorida, kalium klorida dan hidrogen disodium sitrat). Biasanya, minuman ini diambil oleh orang yang diserang sakit cirit birit untuk menggantikan cecair yang hilang.
Sembelit
Makanan yang tidak dikenali ketika bercuti boleh menyebabkan masalah sembelit. Laxative atau julap boleh membantu anda ‘membuang’ dalam jangka masa pendek. Kebanyakan julap hadir dalam bentuk pil atau sirap. Jika anda lebih berhati-hati, sembelit boleh dicegah dengan mengambil diet tinggi serat dan minum banyak cecair.
Pedih hulu hati & perut berasid
Jika anda mengalami perut pedih akibat pedih hulu hati, rasa panas dan tidak selesa akibat mengambil makanan dan minuman yang ‘tajam’, ketika ini anda memang memerlukan antasid. Ia membantu melegakan masalah keasidan tinggi dalam perut anda.
Jangkitan dan keradangan
Jika anda mudah diserang penyakit, ada baiknya anda berbincang dengan doktor terlebih dahulu kerana pil antibiotik tidak boleh diambil sebarangan. Doktor anda akan mengesyorkan ubat-ubatan yang perlu dibawa. Elak membeli pil antibiotik yang dijual di farmasi tanpa arahan dari doktor.
Sakit
Ubat penahan sakit penting untuk melegakan masalah sakit kepala, sakit otot, sakit gigi mahupun ketika senggugut. Jangan lupa bawa ubat yang mengandungi aspirin (misalnya Aspro clear), paracetamol (misalnya panadol) atau ibuprofen (misalnya Nurofen). Tapi kami mengesyorkan anda memilih pelekat seperti koyok atau plaster kerana lebih memudahkan anda berbanding ubat-ubatan kerana terlalu terdedah atau terbiar tanpa sedar boleh menyebabkan ubat kurang berkesan. Malah, aspirin tidak dibenarkan diberi kepada kanak-kanak melainkan nasihat doktor.
Kudis dan kulit lepuh
Satu botol kecil yang mengandungi chlorhexidine membantu mencegah jangkitan kulit. Tisu antiseptik juga berguna untuk mengelap dan membersihkan luka. Pembalut dan plaster berguna untuk rawat kelukaan kecil pada tangan dan anggota lain. Dettol adalah bahan antiseptik yang mudah dibawa.
Kulit terbakar
Kulit terbakar boleh dicegah sekurang-kurangnya anda menyapu krim sinar matahari yang memapunyai perlindungan matahari (SPF) yang tinggi dan sesuai. Penggunaan aloe vera merupakan bahan semulajadi yang membantu meredakan kemerahan pada kulit.
Selain bahan ubatan di atas, kini anda boleh mendapati barangan digital berbentuk mini seperti termometer yang mudah dibawa untuk melihat suhu tubuh badan anda. Setakat kain kecil dan gunting kecil pasti tidak mempunyai masalah asalkan ia tidak disalah guna. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik dari mengubati.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI