Tasik Jadian Attabad Pakistan, Terbentuk Dek Runtuhan Tenggelamkan Karakoram Highway 12 Tahun Lalu

Share

Setiap orang mempunyai kisah tersendiri jika menggembara ke negara orang. Tidak kira secara solo atau berkumpulan.

Bagi seorang sahabat Backpacker Buddies Malaysia Siti Noridah, turut menyimpan pengalaman ketika bercuti secara solo ke Pakistan.

Menurutnya terdapat sejarah hitam di sebalik keindahan Tasik Attabad, Pakistan. Tasik ini sangat terkenal di kalangan pelancong kerana keindahan airnya yang bewarna turquoise dan biru kehijauan adalah tasik jadian yang baru sahaja terbentuk pada 2010.

Malah dikatakan tasik ini terbentuk akibat kejadian tanah runtuh yang sangat besar dan dahsyat sejak tahun 2020.

Turut dikatakan seramai 20 nyawa terkorban apabila sepanjang 24 kilometer Karakoram Highway tenggelam dan berkubur dalam tasik berkenaan.

Sejarah Hitam Tasik Attabad, Pakistan

Antara kejutan paling besar semasa saya mengembara solo di Pakistan 8 tahun yang lepas adalah – kewujudan sebuah tasik bernama Attabad.

Tak sangka rupanya dari Upper Hunza saya perlu menaiki bot meredah Tasik Attabad untuk sampai ke Karimabad, Hunza Valley.

Semasa saya merancang perjalanan ke Pakistan, memang tak ada langsung info yang saya jumpa mengenai tasik ini. Almaklumlah, buku panduan Lonely Planet tentang Pakistan yang paling terkini pada waktu itu pun diterbitkan pada tahun 2008. Memang sudah sangat ketinggalan infonya.

Nak dijadikan cerita, tasik Attabad ini sebenarnya adalah tasik jadian yang baru sahaja terbentuk pada tahun 2010. Ya, tasik ini bukan tasik semulajadi. Malah, ada kisah pahit tentang bagaimana boleh terbentuknya tasik ini.

Orang-orang tempatan di situ menceritakan kepada saya, tasik ini sebenarnya terbentuk akibat kejadian tanah runtuh yang sangat besar dan dahsyat pada tahun 2010. Rentetan kejadian, air sungai telah naik sehingga terbentuknya tasik ini. Tambahannya lagi, sepanjang 24 kilometer Karakoram Highway telah tenggelam dan terkubur di dalam tasik ini.

Yang menyedihkan lagi bila saya dapat tahu seramai 20 nyawa telah terkorban dan berpuluh-puluh rumah orang tempatan di kampung Attabad ini telah musnah sama sekali. Ribuan lagi orang tempatan telah terjejas teruk akibat terputus hubungan kerana satu-satunya jalan darat di situ iaitu Karakoram Highway telah pun tenggelam.

Maka sejak itu, mereka tiada cara lain dan terpaksa menggunakan bot penumpang untuk bergerak dari Upper Hunza ke Karimabad.

Tambang bot cuma 200 Pakistani Rupees (lebih kurang RM5) sahaja untuk perjalanan selama 2 jam merentas tasik Attabad. Bot kayu yang dicat dengan warna warna terang ini sungguh koboi gayanya. Orang ramai bersesak lompat ke dalam bot, duduklah di mana-mana yang kamu sukakan.

Pemandu bot cepat sahaja menggemudikan bot yang dilatari dengan bunyi enjin yang sangat memekakkan telinga. Hidung pula terpaksa menahan bau minyak yang kuat dan menyesakkan paru-paru. Entah berapa limit muatan orang pun tidak dikisahkan. Soal keselamatan memang jauh dari fikiran mereka, jadi jangan berminpilah untuk pakai life jacket di sini, kelibatnya pun tak ada langsung.

Mereka ini memang terbukti sejenis bangsa survivor. Banyak kes yang saya dengar, lori truk membawa barang-barang dari China yang ditenggekkan di atas bot terbalik dan tenggelam ke dasar tasik.

Ada juga kereta yang pernah jatuh dan tenggelam begitu sahaja. Macam-macam lagilah cerita tragis yang saya dengar. Saya terfikir, mungkin juga pernah ada orang yang tenggelam dan lemas di sini? Wallahuallam. Tetapi, apa pilihan yang mereka ada?

Setelah bertahun-tahun, syukur alhamdulilah penderitaan orang tempatan di sini berakhir bila kerajaan China dengan “baik hati” membantu Pakistan membina terowong dengan menebuk dinding-dinding batu gunung.

Akhirnya pada bulan September tahun 2015, terowong Attabad yang memakan belanja sebanyak 275 juta US siap dan sudah boleh digunakan oleh orang tempatan. Pastinya rakyat tempatan sangat berterima kasih dengan kerajaan China sekali lagi yang sentiasa ada untuk membantu mereka yang sedang dalam kesusahan.

Sekarang, dah tak perlu risau pun untuk merentas ke Upper Hunza dengan naik bot koboi lagi. Perjalanan 2 jam dengan bot koboi sekarang dah berganti dengan perjalanan selama 15 minit melalui terowong canggih buatan China. Bot koboi sekarang kebanyakannya dah pun bertukar menjadi bot yang membawa tourist bersiar-siar di sekitar tasik ala-ala cruise.

Ironinya, cruise ini di atas bekas sebuah kampung yang bernama Attabad yang telah pun tenggelam dan hilang dari muka bumi ini.

SumberL FB Travelog ET

Artikel Berkaitan:

Bagai Di Italy! Qulai Pizza Kayu Api Dibakar Segar Cara Tradisional Menggunakan Oven Batu

Wanita Kongsi Aktiviti Yang Korang Boleh Buat, Kalau Ambik Day Trip Ke Pulau Redang

Balat, ‘Hidden Gems’ Berusia 200 Tahun Di Istanbul. Destinasi Cantik Buat Kaki OOTD!

Oleh
Siti Zurina Mat Saman