Khas Untuk Mereka Yang Tak Gayat, ‘Star View’ Bilik Kaca Tarikan Baru Menara Alor Setar Kena Try!

Share

Orang ramai yang mengunjungi Menara Alor Setar berpeluang menyaksikan keindahan dan pemandangan bandar raya ini pada ketinggian 105 meter menerusi bilik kaca ‘Star View’ yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Pembinaan bilik kaca itu diilhamkan daripada kejayaan dua bilik kaca yang terdapat di Menara Kuala Lumpur. Terdapat dua bilik kaca berwarna hijau dan kuning di Menara Alor Setar yang melambangkan warna bendera Kedah dibina dengan lantai kaca bersaiz empat meter persegi pada ketinggian 105 meter yang membolehkan pengunjung menikmati keindahan Alor Setar.

  • Bilik kaca pertama atau Star View 1 yang berwarna hijau membolehkan pengunjung melihat keindahan panorama sawah padi dengan keindahan Gunung Keriang, manakala menerusi Star View 2 yang berwarna kuning pengunjung boleh melihat bangunan ikonik dan bersejarah seperti Masjid Zahir, Balai Besar, Balai Nobat serta pemandangan sejauh ke Pulau Langkawi.
  • Pihak Menara Alor Setar juga telah menyediakan beberapa kemudahan lain seperti ruang menunggu dan lif hidraulik bagi memberi keselesaan kepada pengunjung yang ingin merasai pengalaman baharu itu.
  • Setiap bilik kaca itu dapat menampung enam orang dalam satu masa dan setiap seorang hanya dibenarkan berada di dalamnya selama dua minit sahaja bagi membolehkan pengunjung lain turut mendapat peluang merasai pengalaman itu.

Star View ini bakal dibuka kepada pengunjung tidak lama lagi selepas ia dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dalam masa terdekat. Ketika ini Menara Alor Setar sedang giat mengadakan promosi kemasukan percuma ke dek pemerhati yang terletak pada ketinggian 88 meter bagi menggalak kedatangan pengunjung ke bangunan mercu tanda itu. Kemasukan percuma sehingga 31 Julai ini dibuka dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Jom cuti-cuti Kedah!


Sumber: Bernama

Oleh
Husna