Walaupun bercuti namun tak dapat dinafikan kita masih bergantung kepada banyak penggunaan telefon pintar dengan jaringan Internet yang stabil. Gaya hidup masa kini sama ada dari segi perbankan, aplikasi percutian dan segala macam aplikasi yang memapu menlancarkan percutian menyaksikan kita sangat perlukan sambungan Internet yang laju.
Menyedari akan hal itu Tourism Selangor dalam beberapa hari lalu telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama pihak SMARTSEL. Ia merupakan usahasama membangunkan dan menambah-baik jaringan jalur internet berkelajuan tinggi di zon-zon awam terpilih di Negeri Selangor.
Memorandum yang dimeterai menyaksikan satu lagi langkah strategik dalam mengukuhkan sinergi dan kerjasama dinamik antara pihak Tourism Selangor dan SMARTSEL ke arah mewujudkan rangkaian digital yang premium di Negeri Selangor.
Majlis pemeteraian yang berlangsung di Foyer, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor yang turut disiarkan secara atas talian telah disempunakan oleh Encik Azrul Shah bin Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif,Tourism Selangor dan Encik Ahmad Akmal bin Hamzah, Pengarah Urusan SMARSTSEL Sdn. Bhd., sambil disaksikan oleh Y.A.B. Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor.
Selain menambah-baik jaringan jalur lebar internet dengan kelajuan lebih tinggi, pelan perlaksanaan ini turut menyokong pembangunan dan pembinaan infrastruktur telekomunikasi dan landasan pendigitalan pelancongan.
Selain itu, kerjasama ini turut melibatkan pemasangan, pengujian dan pelancaran perkhidmatan sambungan internet di zon-zon awam di Negeri Selangor, termasuk di kawasan-kawasan pelancongan terpilih.
Bagi menyokong usaha tersebut, pihak Tourism Selangor akan bertanggungjawab dalam menyediakan akses dan saluran ke semua kawasan atau tapak pelancongan terpilih di Negeri Selangor bagi tujuan pembangunan dan pembinaan infrastruktur telekomunikasi.
Encik Azrul Shah Mohamad dalam sebuah kenyataan berkata, “Memorandum Persefahaman atau MoU yang dimeterai pada hari ini menandakan sebuah lagi pencapaian pihak Tourism Selangor, terutamanya dalam pemerkasaan jaringan jalur internet untuk semua, termasuk di kawasan-kawasan pelancongan di Negeri Selangor.
Pihak Tourism Selangor berharap agar usahasama ini mampu memberi manfaat kepada semua pihak dan orang ramai, serta operator produk pelancongan Negeri ke arah usaha pendigitalan pelancongan yang lebih mampan”.
Sebagai salah sebuah usaha proaktif dalam menetapkan semula atau “reset” industri pelancongan domestik Negara khususnya di Negeri Selangor, Kerajaan Negeri Selangor menerusi Tourism Selangor telah melancarkan Kempen Pusing Selangor Dulu pada Disember tahun lalu.
Kempen ini digerakkan menerusi landasan digital, terutamanya laman media sosial rasmi Tourism Selangor; Facebook, Instagram, Twitter, aplikasi TikTok dan saluran YouTube, dan kewujudan jaringan jalur lebar di zon-zon awam dan kawasan pelancongan Negeri Selangor, dijangka akan memberikan impak yang signifikan terhadap pemerkasaan Kempen ini dengan perkongsian dengan tandapagar #PusingSelangorDulu di laman sosial media secara lebih meluas.
Kredit: Tourism Selangor