Anda dalam perjalanan pergi atau pulang dari bercuti menggunakan highway. Namun tanpa disangka, kereta pula meragam dan rosak ketika di atas highway. Lebih parah apabila kereta rosak di kawasan terpencil dan jauh daripada orang awam lain.
Kalau setakat tayar pancit, okay lagi. Tapi kalau nak sampai enjin jadi panas sampai suhu melampau tinggi sehingga kereta rosak, itulah masalah paling besar.
Ketika inilah muncul segelintir trak tunda yang entah dari mana datang dengan ‘bermurah hatinya’ untuk membantu anda.
Risau dipaksa mereka akan bawa kereta anda ke bengkel yang anda tidak tahu dan tidak begitu yakin? Jangan panik dan ikut langkah-langkah di bawah :
1. Hubungi PLUSRonda
Jangan terus ambil trak tunda yang ‘tidak diundang’ itu kerana sebagai pengguna lebuh raya anda berhak mendapat perkhidmatan tunda secara PERCUMA daripada syarikat konsesi lebuh raya seperti PLUSRonda. Mereka akan membawa anda daripada lokasi kejadian sehingga ke hentian Rehat dan Rawat (R&R) atau plaza tol yang berhampiran. Bukan nak buruk-buruk keadaan tetapi sudah ramai pengguna mengadu penunda yang ‘tidak diundang’ ini selalunya sudah sediakan macam-macam bil untuk anda.
Apa yang perlu anda buat?
a) Nyalakan lampu kecemasan kenderaan
b) Dapatkan lokasi kilometer (lihat tanda km di tepi lebuh raya di setiap 100m)
c) Telefon nombor bantuan syarikat konsesi lebuh raya, contohnya PLUSRonda – 1800 88 0000
d) Nyatakan jenis kenderaan dan nombor plet kenderaan
e) Nyatakan kerosakan
f) Nyatakan nombor telefon untuk dihubungi
2. Maklumkan kepada syarikat insurans
Anda bayar insurans tiap-tiap tahun bukan? Anda perlu ingat polisi yang ditawarkan. Kalau sudah terlupa, rujuk semula kerana selepas kenderaan anda dihantar ke hentian R&R atau plaza tol terdekat, anda boleh menggunakan perkhidmatan tunda PERCUMA yang disediakan oleh syarikat insurans kenderaan anda ke bengkel yang anda kehendaki seperti pusat servis jenama kenderaan anda atau bengkel yang anda percayai.
Selalunya syarikat insurans menetapkan jarak yang berikan PERCUMA seperti 200km ataupun lebih, mengikut polisi yang ditetapkan. Sekiranya lokasi tersebut lebih kilometer seperti yang ditetapkan, maka kadar tertentu akan dikenakan sebagai contoh RM1.50/km. Ada juga syarikat insurans menyediakan tuntutan sewa teksi untuk pulang ke rumah dan ada juga syarikat insurans menawarkan tuntutan kos penginapan hotel yang ditanggung kerana kerosakan tersebut mengikut terma-terma tertentu.
Jadi baca polisi anda, ketahui hak anda sebagai pengguna.
Apa yang perlu anda buat?
Dengan mengikuti langkah-langkah selamat ini, anda akan terhindar dari ‘konspirasi’ penipuan tersebut. Dan ingatlah, ada juga kerosakan yang sengaja dicipta oleh ‘syaitan bertopengkan manusia’ semasa anda berhenti di hentian Rehat dan Rawat tertentu. Kedua-dua perkhidmatan tunda samada dari syarikat konsesi lebuh raya dan syarikat insurans beroperasi 24 jam sehari selama 7 hari seminggu.
Jadi anda TIDAK PERLU RISAU ye!