Dahulu Pulau Serai (nama asal Gunung Jerai) terkenal sebagai penanda arah buat pelayar-pelayar yang singgah berdagang di negeri Kedah. Tetapi kini ia lebih sinonim sebagai salah satu produk pelancongan di negeri jelapang padi itu.
Nama ‘Jerai’ mungkin berasal dari perkataan Chera, iaitu Kerajaan India Selatan yang ketiga. Ia telah berubah kepada Serai dan kemudiannya Jerai. Terdapat peninggalan dari zaman purba di Lembah Bujang, yang berada di kaki Gunung Jerai. Kawasan Lembah Bujang mengandungi tapak arkeologi yang paling kaya dengan peninggalan purba di Malaysia.
Buat anda yang ingin berkunjung ke sini hanya perlu melalui perjalanan sejauh 14 kilometer dari kaki gunung ke puncak. Jika tidak berkemampuan, anda tidak perlu mendaki kerana jalan menuju ke puncak itu boleh dilalui menggunakan kenderaan.
Gunung ini memiliki ketinggian 1,217 meter dari paras laut dan terletak di sempadan daerah Kuala Muda dan Yan itu sentiasa mendapat kunjungan daripada para pengembara dan pencinta alam yang ingin menerokainya tidak kira pada hari biasa atau cuti umum.
Gunung tertinggi di Kedah itu juga menyediakan kemudahan penginapan yang dikelilingi dengan pelbagai jenis flora dan fauna berwarna-warni. Kedinginan udara sekitar 18 hingga 25 darjah celcius amat menyamankan lebih-lebih lagi ia dikelilingi dengan pelbagai jenis pokok yang menghijau.
Pengunjung juga boleh bermalam di puncah Gunung Jerai kerana terdapat kemudahan resort disediakan. Pemandangan indah di sekeliling lokasi berkenaan juga pasti akan mengasyikkan setiap pengunjung kerana dari puncak resort berkenaan anda boleh melihat pemandangan sekitar negeri Kedah terutama pemandangan sawah padi yang luas terbentang indah.
Tempat Menarik
- Agaricles Biotech Organic Farm
- Hutan Lipur Sungai Teroi
- Masjid Gunung Jerai
- Muzium Perhutanan Gunung Jerai
- Telaga Tok Sheikh
Mitos
Keagungan sejarah Gunung Jerai dikaitkan dengan mitos Raja Bersiong yang dikatakan membuka penempatan di kaki gunung dan legenda batu kapal kepunyaan Maharaja Merong Mahawangsa. Saudagar pada zaman purba menganggap Gunung Jerai sebagai kemuncak yang suci. Kerja cari gali arkeologi telah menemui tapak yang dipercayai ‘Kuil Kolam Air Sembilan’ yang kononnya tempat bersiram Raja Bersiong.
Siapa Raja Bersiong? Pada zaman dahulu, Negeri Kedah berada di bawah pemerintahan Raja Siam. Kebanyakan Raja Kedah menggunakan nama dalam bahasa Siam. Malahan terdapat juga yang berketurunan Siam. Raja Ong Maha Perita Daria adalah salah seorang daripada mereka, tetapi baginda lebih dikenali sebagai Raja Bersiong. Pada masa pemerintahannya, Raja Bersiong sangat zalim. Rakyat Kedah sentiasa dalam ketakutan. Tiada siapa berani membuat kekacauan, kerana apabila ditangkap mereka akan diseksa atau terus dibunuh oleh para pengawal atau panglima Raja Bersiong.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI