Bukit Canada digelar The Grand Old Lady, ia bukanlah seorang si wanita tua tetapi sebenarnya telaga minyak Miri Nombor 1, telaga minyak pertama di negara ini yang menggunakan kaedah alat kabel.
Sejak 1910, Si Wanita Tua yang terletak 150 meter di atas paras laut, telah menyaksikan pelbagai sejarah dan pembangunan fizikal yang berlaku di bandar Miri yang kaya dengan hasil minyak ini, tetapi juga industri pelancongannya yang menarik.
Berdasarkan fakta, Si Wanita Tua itu mempunyai sejarah yang boleh ditelusuri sejak lewat tahun 1800-an semasa Residen Baram ketika itu, Claude Champion de Crespigny, menjumpai minyak di bawah tanah wilayah Baram.
Pada 1888, Charles Hose yang mengambil alih sebagai Residen Baram selepas itu meneruskan usaha Crespigny dan sebelum bersara, Hose telah menjalankan satu kajian yang intensif mengenai kewujudan minyak di sana.
Erb kemudian memutuskan untuk membina telaga minyak di atas puncak bukit itu dan seorang rakyat Kanada bernama McAlpine, ditugaskan mendirikan telaga minyak itu. Bukit itu dinamakan sebagai Bukit Kanada sebagai menghargai sumbangannya itu.
Selepas beberapa bulan tidak menghasilkan apa-apa, mereka akhirnya menjumpai minyak di bukit itu pada 22 Dis 1910 pada paras kedalaman 150 meter. Memandangkan Si Wanita Tua itu mempunyai nilai sentimental kepada Miri, sebuah Muzium Petroleum telah didirikan di sebelahnya.
Muzium ini begitu unik kerana adanya patung manusia yang sedang menggerudi minyak selain menara yang tinggi menjulang langit. Selain lengkap dengan sejarah perkembangan petroleum, pengunjung pasti tertarik dengan reka bentuk bangunan muzium.