Dengan sumbangan serendah RM25, anda kini berpeluang menjadi penyelamat haiwan sekali gus menyumbang makanan, dapat menjaga kebajikan dan keperluan vaterinar haiwan di Zoo Negara dengan menyertai program dalam talian iaitu Adopt An Animal.
Lebih menarik, anda juga mungkin berpeluang untuk melawat ‘anak angkat’ anda dalam program yang diilhamkan Zoo Negara, sejak 1981 itu.
Meskipun ketika penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) di seluruh negara, program Zoo Negara itu mendapat sambutan menggalakkan dan ramai penderma baharu tampil menghulurkan sumbangan.
Selain hebahan melalui media konvensional, pasukan team Zoo Negara juga menggunakan platform sedia ada iaitu, Instagram (@zoonegara_malaysia) dan Facebook (Zoo Negara Malaysia). Kami berharap dapat terus menarik lebih ramai penderma dengan menyiarkan secara langsung dan berinteraksi dengan penonton melalui saluran YouTube khas.
Bagi memudahkan para pencinta haiwan untuk menghulurkan sumbangan melalui program Adopt an Animal ini, Zoo Negara telah menjalinkan kerjasama dengan Ticket2U, Maybank2U, Lazada dan Shopee, sejak 2017 agar sumbangan dapat terus disalurkan.
Program berkenaan menawarkan sebanyak 30 jenis haiwan untuk dijadikan anak angkat dan pada masa sama, masyarakat secara simbolik dapat memainkan peranan penting dalam membantu Zoo memperoleh dana bagi meneruskan kelangsungan hidup haiwan-haiwan yang ada di dalam zoo itu.
Melalui inisiatif ini, Zoo Negara akan memperoleh sokongan kewangan yang diperlukan demi kebajikan haiwan di sini. Perserta pula akan menerima e-sijil yang akan mencatat sumbangan mereka terhadap haiwan yang dipilih, selain menerima cenderahati mengikut pakej yang disediakan.
Sumber: Bernama