Kembara Dengan Satu Beg? Apa Yang Perlu Kita Buat?

Share

Kebanyakan orang lebih selesa mengembara dengan satu beg. Bukan hanya kerana boleh menjimatkan bayaran ‘check-in’ bagasi tetapi risiko kehilangan beg dan rasa membebankan tidak akan berlaku. Akan tetapi, bolehkah mengembara dengan satu beg? Muatkah?

Kelengkapan dandanan diri

Tinggalkan peralatan tajam seperti gunting kecil, pemotong kuku dan sebagainya kerana anda boleh membelinya setiba di sana.Tukar barangan dandanan atau kosmetik dari bentuk cecair kepada bentuk pejal. Anda boleh membawa sabun, syampu atau deodoran yang dijual dalam bentuk pejal kerana lebih ringan dan muat. Ikuti syarat dan peraturan membawa barangan cecair di mana anda tidak dibenarkan membawa lebih dari 100ml setiap botol.

Ubat-ubatan

Minta pendapat doktor berkenaan jenis ubat-ubatan yang perlu dibawa. Anda juga boleh menghubungi pihak penerbangan tujuan anda membawa ubat-ubatan.

Pakaian

Cukup sekadar membawa tiga helai pakaian untuk kegunaan anda. Semasa mengembara di negara orang, mesin basuh merupakan peralatan yang mesti dicari oleh pelancong. Pemilihan seluar atau skirt yang berwarna gelap adalah langkah selamat dan menjimatkan kerana anda boleh pakai berulang kali selain sangat padan dengan semua warna pakaian. Bersiap sedia dengan memakai pakaian tebal seperti seluar jeans, but atau jaket musim sejuk di dalam penerbangan untuk mengurangkan berat beg anda.

Kaedah menyimpan

Jika anda tidak yakin dengan tuala yang disediakan di tempat penginapan, anda masih boleh membawa tuala jenis mikrofiber di mana ia lebih ringan dan cepat kering. Tip terbaik untuk mempunyai ruang ialah dengan menggulung pakaian berbanding melipat pakaian. Ia bukan saja menjimatkan ruang tetapi memudahkan anda melihat susunan dan mudah mengambil tanpa berselerak.

Pengembaraan akan lebih selesa tanpa perlu membawa beg yang banyak. Mengapa perlu keluar wang lebih semata-mata untuk berat beg berlebihan sedangkan anda  boleh menjimatkan ruang dengan cara lebih bijak? Diharap tip ini boleh membantu anda yang mahu bercuti dengan satu beg sahaja!

Oleh
putri.adila