Kewujudan ribuan cacing yang muncul di permukaan tanah di pasar Gede Solo, Jawa Tengah Indonesia sejak minggu lalu tular di media sosial.
Peniaga di pasar tersebut mula menyedari kehadiran ribuan cacing itu di kawasan pasar kira-kira jam 5.30 pagi. Cacing tersebut dikatakan bersaiz besar daripada biasa memenuhi sekitar pasar dan jalan raya.
“Kalau dikumpul cacing itu, satu baldi boleh penuh malah lebih. Memang banyak. Jumlah cacing banyak hingga kami hilang selera makan. Kami pun tak tahu bagaimana boleh banyak sangat cacing di sini,” menurut salah seorang peniaga di pasar tersebut.
Sementara itu, pakar alam sekitar Universiti Sebelas Maret Solo, Prabang Setyono berkata, kemunculan cacing itu disifatkan fenomena alam. Malah mereka percaya, ia ada kaitan dengan letusan beberapa gunung berapi di negara itu. Bagaimanapun pengkaji Zoologi Pusat Penyelidikan Ilmu Pengetahuan Indonesia, berpendapat, ia terjadi kerana perubahan cuaca.