Artikel ini adalah perkongsian oleh Wan Nordini Hasnor Wan Ismail
Selalunya di Cameron Highlands, gunung yang sering menjadi pilihan para pendaki adalah gunung-gunung yang popular seperti Gunung Irau dan Gunung Brinchang Barat. Kedua-dua gunung ini memerlukan permit untuk memasukinya dan kebiasaannya trek akan ditutup pada penghujung tahun sewaktu musim tengkujuh (November hingga Februari).
Namun, ramai yang tidak mengetahui sebenarnya terdapat banyak lagi gunung di sekitar Cameron Highlands. Cuma mungkin sahaja ianya kurang dikenali menyebabkan gunung-gunung tersebut tidak menjadi pilihan utama para pendaki.
Pada penghujung tahun 2018, penulis telah berkesempatan mengikuti satu ekspedisi Trans-Gandik yang boleh dikira agak unik. Pemilihan kali ini adalah gunung-gunung yang agak kurang popular, yang mana gunung ini bukanlah dalam kategori hutan simpan.
Oleh itu, permohonan permit tidak perlu dilakukan, namun masih memerlukan khidmat jurupandu arah untuk masuk. Trans Gandik merangkumi 3 gunung yang bersebelahan iaitu Gunung Tanggung, Bunting dan Gandik. Ketinggian bagi setiap satunya adalah 1300++ m apl.
Untuk makluman, gunung-gunung ini tidak mempunyai puncak yang menjanjikan pemandangan yang indah, malah ada yang sekadar memiliki sedikit ruang lapang di tengah-tengah belantara. Oleh itu, Trans-Gandik bukanlah pilihan terbaik sekiranya ada sahabat-sahabat yang jenis mengejar “view” puncak.
Masa keseluruhan pendakian bagi Trans-Gandik adalah setengah hari sahaja dan keadaan treknya sesuai bagi mereka yang baharu sahaja berjinak-jinak dalam sukan mendaki ini.
Gunung Tanggung, Bunting dan Gandik ini terletak di kawasan Ringlet. Jadi, kami memilih untuk bermalam di Hikers Sleep Port yang terletak di Tanah Rata. Konsepnya adalah “dorm” dan boleh memilih pakej bersekali dengan sarapan atau tanpa sarapan.
Di permulaan trek Trans-Gandik, kami telah disajikan dengan kesan-kesan tapak kaki haiwan yang begitu jelas. Menurut “guide”, haiwan tersebut baru sahaja berlalu dari situ. Kemungkinan besar kambing hutan. Kecut juga perut apabila pertama kali berhadapan dengan situasi ini.
Masakan tidak, sepanjang trek kesannya ada! Biarpun “guide” menyatakan mungkin kambing hutan, tetapi tetaplah ia haiwan liar yang tidak boleh dipandang ringan. Sebab apa-apapun, hutan ni ‘rumah’ bagi makhluk selain manusia. Kita kenalah sentiasa berwaspada.
Sehinggakan ada satu ketika, dalam perjalanan turun, “guide” kami meletupkan bebola mercun. Kuat sungguh bunyi mercun tu, walaupun saiznya kecil sahaja. “Guide” memaklumkan bahawa ada bau haiwan yang kuat.
Bagus, peka deria beliau, sebab kami tidak dapat mengenalpasti sebarang bau yang pelik pada waktu itu. Yang pasti, darjah kecut perut telah meningkat sekali ganda berbanding awal tadi.
Pendakian kali ini memang betul-betul santai sahaja. Kami banyak belajar mengenai flora hutan daripada “guide”. Seolah-olah menghadiri kuliah alam tanpa sempadan. “Guide” kami ni, jiwanya memang boleh nampak, jiwa hutan. Dengan beliau, kami berpeluang kenal jenis-jenis orkid liar, ada yang jenis tumbuh di darat, ada yang rupanya unik dan pelik, macam-macamlah.
Yang pastinya, banyak sangat khazanah negara kita yang unik, yang indah, tetapi mata kita sering terpedaya dengan tipu helah dunia luar. Dalam pada tidak sedar, tangan kita sendiri yang menghancurkan apa yang kita ada. Sayangkan?
Selain orkid, kami juga diperkenalkan dengan beberapa pohon herba renek secara dekat. Ada satu pokok herba ni, akarnya mengeluarkan bau minyak angin (methyl salicylate). Teruja betul kami. Sebab bau itu adalah ‘haruman’ yang “familiar” bagi dunia farmasi.
Memiliki bunga-bunga putih halus, sekali pandang bagi yang tidak arif, memang anggap macam kumpulan rumput liar aje lah. Apabila dirujuk, nama tumbuhan tersebut adalah tuju angin/akar suasa/akar simpul angin.
Kami juga menemui banyak “crab-spider” dengan sarangnya di sepanjang laluan trek. Kebanyakannya warna hitam, ada juga yang berwarna ala-ala jingga-keperangan. Unik bentuknya. Selain bentuk fizikal belakang badan, “crab-spider” juga disebut sedemikian kerana tabiat berjalannya yang mengiring ke tepi.
Selain itu, kami ada juga terserempak dengan sekumpulan kutu yang sedang menjamu selera di lantai hutan. Saiznya besar sehinggakan boleh nampak dengan mata kasar sahaja. Mangsanya adalah spesies ulat gonggok yang bersaiz sebesar ibu jari tangan. Unik sungguh rantaian makanan alam di habitat asal mereka.
Keluar sahaja dari trek Trans-Gandik, kami ingatkan berakhirlah ekspedisi hari pertama. Rupa-rupanya “guide” kami mempunyai perancangan lain. Beliau membawa kami ke Plot Hutan Pinus yang terletak di Kg Taman Sedia.
Plot Hutan Pinus dahulunya dibangunkan oleh orang-orang Inggeris, dalam percubaan menanam pokok-pokok pine di Cameron Highlands. Kini, pokok-pokok tersebut sudah tinggi menjulang.
Namun sayang, kawasan itu kini terbiar begitu sahaja tanpa pemantauan daripada mana-mana pihak. Sedangkan jika dikawal-selia, ianya boleh menjadi tarikan daripada sudut ekopelancongan. Tetapi, daripada satu sudut yang lain pula, bagus juga tak dibangunkan tempat ni. Agar ianya kekal terpelihara bersih dalam suasana asalnya.
Di plot ini, terdapat satu “viewpoint”, yang boleh nampak gunung-ganang yang popular di sekeliling iaitu Irau, Brinchang, Berembun dan Jassar. Kami keluar daripada plot ini sebaik sahaja azan Maghrib berkumandang.
Ekspedisi pada hari kedua diteruskan dengan pendakian ke Gunung Ruil. Letaknya di Kg Sg Ruil, sebuah perkampungan orang Asli. Namun, jangan terkejut ya, kampung orang Asli di sini sudah moden. Tiada lagi rumah-rumah asal yang kita bayangkan.
Gunung Ruil berketinggian 1710m apl. Terletak di dalam tanah adat orang Asli. Oleh itu, biasanya, “guide” akan meminta izin dahulu daripada pihak yang berkenaan untuk masuk.
Dahulunya, kawasan pergunungan ini dijadikan tempat persemadian bagi masyarakat orang Asli. Mayat-mayat dikatakan diikat pada pokok-pokok yang besar atau diletakkan pada banir akar dan akan ditinggalkan sahaja di situ sehinggalah proses pereputan secara alami berlaku.
Trek Ruil adalah jelas. Banyak juga laluan kecil yang disebut laluan tikus, yang mana mungkin terbentuk akibat aktiviti masyarakat setempat. Kami sempat terserempak dengan satu keluarga orang Asli yang sedang menebang dahan-dahan kayu. Menurut ketua keluarga, mereka perlu membina pondok kayu untuk si nenek.
Gunung ini juga tiada puncak nyata, maka tiada pemandangan. Hanya ada batu sempadan yang memisahkan di antara negeri Perak dan Pahang. Di sini juga rezeki kami menemui sejenis kulat yang tumbuhnya di perdu pokok, berwarna kemerahan terang. Bersaiz sangat kecil tetapi tetap cantik.
Begitulah serba-sedikit ekspedisi kali ini, yang bagi penulis bukan sekadar mendaki-penat-kejar-puncak. Ianya lebih dari itu, 2 hari yang penuh dengan ilmu yang mungkin sukar diperolehi di mana-mana.
“It is truly beyond hiking those mountains!”
Penulis:
Wan Nordini Hasnor Wan Ismail
Pensyarah Kanan, Fakulti Farmasi,
UiTM Caw Pulau Pinang (Kampus Bertam)