Kehilangan Raja Sutera Thai, Jim Thompson Di Cameron Highland Sehingga Kini Masih Misteri

Share

Jim Thompson atau nama penuhnya James Harrison Wilson Thompson merupakan seorang ahli perniagaan warga Amerika Syarikat. Walaupun Thompson memiliki empayar kain sutera Thai di Bangkok, tetapi namanya juga terkenal di Cameron Highlands. Misteri kehilangan warga Amerika Syarikat itu masih kekal membelenggu tanah tinggi itu sehingga hari ini.

Dia yang turut mendapat gelaran Raja Sutera Thai membantu menggiatkan semula perniagaan tekstil dan sutera Thai lewat tahun 1950an dan 1960an. Jim Thompson dilahirkan di Greenville, Delaware, Amerika Syarikat pada 21 Mac 1906 dan pernah berkhidmat dengan Tentera Amerika Syarikat dalam bidang perisikan ketenteraan. Jim Thompson dilaporkan hilang pada 26 Mac 1967 di Cameron Highlands. Jim Thompson masih belum ditemui sehingga kini dan kehilangannya telah menjadi suatu misteri.

Cameron Highland Saksi Kehilangan Jim Thompson

Berpuluh-puluh teori timbul ekoran kehilangan Thompson pada petang 26 Mac 1967. Namun, ramai penduduk Cameron Highlands lebih percaya bahawa Thompson sebenarnya menghilangkan diri dan menukar identitinya agar tidak dikenali dan kemudian pulang ke Amerika Syarikat. Jika dia mati di dalam hutan, mustahil tiada satupun cebisan mayat dijumpai sedangkan ribuan orang telah mencarinya pada masa dia dilaporkan hilang.

Ada juga laporan yang mengatakan orang awam telah ternampak kelibat Thompson di Amerika Syarikat selepas dia dilaporkan hilang di Cameron Highlands. Namun tiada pengesahan dibuat sehingga kini

Misteri Thompson telah menyebabkan Cameron Highlands menjadi tempat yang terkenal di dunia. Bukan sedikit pasukan mencari yang dikerah dan yang turun membantu untuk mencari Thompson sejurus selepas kehilangannya pada 1967 itu.

Maka tidak hairan, sehingga hari ini masih ramai pelancong yang obses mengenai misteri itu datang ke Moonlight Bungalow kini dikenali sebagai Jim Thompson Cottage untuk melihat sendiri tempat terakhir Thompson dilaporkan dilihat sebelum dia hilang.

Bilik terakhir sebelum Jim Thompson hilang ketika menginap di banglo ini adalah di bilik ketiga yang bersebelahan tangga ke ruang atas. Kali terakhir dia dilihat sebelum hilang tanpa jejak kira-kira pukul 4 petang pada 26 Mac 1967. Keadaan bilik masih tidak berubah kecuali perabot yang telah ditukar untuk dijadikan penginapan tetamu.

Jim Thompson datang ke Cameron Highlands bersama Constance Mangskau pada 24 Mac 1967 dan menginap di Moonlight Bungalow bersama-sama pemilik, Dr. Ling Tien Gi dan isteri, Helen Ling rakyat Singapura. Terdapat dua laluan yang dikatakan telah dilalui Thompson sebelum dia hilang di dalam hutan berdekatan.

Ada yang kata semasa sedang treking, Thompson menuju ke Lutheran Mission Bungalow.

Selepas dilihat berada di situ, Thompson tidak lagi kelihatan selepas itu.

Saudagar Sutera Thai Berjaya

Jika masih hidup, umur Jim Thompson kini adalah 113 tahun. Kehilangannya juga ada dikaitkan dengan berbagai kisah dan teori, sama ada pengkhianatan, jenayah mahupun kisah-kisah mistikal. Semasa Perang Dunia Kedua, Jim Thompson telah direkrut oleh William Joseph Donovan dan dilantik sebagai pegawai bertauliah di dalam Jabatan Perkhidmatan Strategik (OSS) di mana pada tahun 1947 jabatan tersebut telah dibubarkan dan dikenali sebagai Agensi Perisikan Pusat (CIA).

Thompson yang fasih berbahasa Perancis telah menjalankan beberapa misi berbahaya di Perancis sewaktu pendudukan tentera Jerman. Selepas kemenangan di Eropah (7 Mei – 8 Mei, 1945), Thompson telah ditukarkan ke Sri Lanka. Dia dalam perancangan untuk ditempatkan di Thailand apabila tentera Jepun menyerah kalah dalam bulan Ogos – September pada tahun yang sama yang sekali gus menamatkan Perang Dunia Kedua. Thompson tiba di Thailand beberapa minggu selepas pihak Jepun menyerah kalah dan Thompson ditugaskan untuk menyelia pejabat OSS di Bangkok.

Setelah menamatkan khidmatnya bersama Tentera Amerika Syarikat, Jim Thompson kembali ke Amerika untuk membawa isterinya ke Thailand. Bagaimanapun isterinya enggan mengikutnya ke Thailand dan akhirnya mereka bercerai.

Thompson kembali ke Bangkok seorang diri, kemudian Thompson bekerja bersama beberapa orang pelabur Thai dan menubuhkan Thai Silk Company pada tahun 1947. Walaupun dia telah meninggalkan bidang ketenteraan dan perisikan, namun ramai yang mengesyaki Thompson masih melakukan kerja-kerja penyamaran untuk CIA.

Semasa Perang Vietnam, kawan rapatnya (juga merupakan rakannya di dalam OSS) iaitu General Edwin Black menjadi ketua operasi Tentera Udara Amerika Syarikat di Laos dan berpengkalan di Thailand. Thompson menumpukan sepenuhnya untuk menggiatkan semula industri kecil menenun sutera menggunakan tangan, yang merupakan kemahiran yang diwarisi oleh wanita Thailand selama berkurun bagaimanapun ia sudah tidak lagi popular.

Thompson menemui kaum Cham yang beragama Islam, mahir dalam menenun sutera di kawasan Bankrua berhampiran Bangkok dan membekalkan mereka dengan alat-alat untuk menenun, mewarna dan bantuan teknikal. Thompson juga dikatakan membantu beribu-ribu penduduk miskin Thailand keluar daripada belenggu kemiskinan. Dia dikatakan memberikan sebahagian daripada saham-sahamnya dalam Thai Silk Company kepada penduduk-penduduk miskin ini.

Jim Thompson House, Bangkok

Jim Thompson House tersenarai sebagai 10 tempat wajib dilawati jika ke Bangkok, Thailand. Rumah Jim Thompson ini memang cantik kerana berunsur Thai dan campuran budaya asia selain menghadap sebatang sungai. Semasa hayat Jim Thompson, dia telah membeli 6 buah rumah tradisional Thailand dan dirangkumkan menjadi sebuah kediaman yang besar untuk didiami.

Selepas kehilangan Thompson, Thai Silk Company telah memindahkan operasinya ke Khorat, sebuah bandar yang menjadi pengkalan operasi untuk Tentera Di Raja Thailand. Rumah Jim Thompson di Rama 1 Road, Bangkok kini dijadikan sebagai muzium yang menempatkan beberapa ukiran dan hasil seni daripada Thailand yang dikumpul oleh Jim Thompson.

Jim Thompson juga dikenali sebagai pengumpul barang-barang seni. Pengunjung boleh datang meninjau rumah peninggalannya yang kini dijadikan muzium setiap hari dari jam 9 pagi hingga 6 petang.

Sumber: thepatrionts |utusan

Oleh
Husna