Jim Thompson atau nama penuhnya James Harrison Wilson Thompson merupakan seorang ahli perniagaan warga Amerika Syarikat. Walaupun Thompson memiliki empayar kain sutera Thai di Bangkok, tetapi namanya juga terkenal di Cameron Highlands. Misteri kehilangan warga Amerika Syarikat itu masih kekal membelenggu tanah tinggi itu sehingga hari ini.
Dia yang turut mendapat gelaran Raja Sutera Thai membantu menggiatkan semula perniagaan tekstil dan sutera Thai lewat tahun 1950an dan 1960an. Jim Thompson dilahirkan di Greenville, Delaware, Amerika Syarikat pada 21 Mac 1906 dan pernah berkhidmat dengan Tentera Amerika Syarikat dalam bidang perisikan ketenteraan. Jim Thompson dilaporkan hilang pada 26 Mac 1967 di Cameron Highlands. Jim Thompson masih belum ditemui sehingga kini dan kehilangannya telah menjadi suatu misteri.
Cameron Highland Saksi Kehilangan Jim Thompson
Berpuluh-puluh teori timbul ekoran kehilangan Thompson pada petang 26 Mac 1967. Namun, ramai penduduk Cameron Highlands lebih percaya bahawa Thompson sebenarnya menghilangkan diri dan menukar identitinya agar tidak dikenali dan kemudian pulang ke Amerika Syarikat. Jika dia mati di dalam hutan, mustahil tiada satupun cebisan mayat dijumpai sedangkan ribuan orang telah mencarinya pada masa dia dilaporkan hilang.
Ada juga laporan yang mengatakan orang awam telah ternampak kelibat Thompson di Amerika Syarikat selepas dia dilaporkan hilang di Cameron Highlands. Namun tiada pengesahan dibuat sehingga kini
Misteri Thompson telah menyebabkan Cameron Highlands menjadi tempat yang terkenal di dunia. Bukan sedikit pasukan mencari yang dikerah dan yang turun membantu untuk mencari Thompson sejurus selepas kehilangannya pada 1967 itu.
Maka tidak hairan, sehingga hari ini masih ramai pelancong yang obses mengenai misteri itu datang ke Moonlight Bungalow kini dikenali sebagai Jim Thompson Cottage untuk melihat sendiri tempat terakhir Thompson dilaporkan dilihat sebelum dia hilang.
Bilik terakhir sebelum Jim Thompson hilang ketika menginap di banglo ini adalah di bilik ketiga yang bersebelahan tangga ke ruang atas. Kali terakhir dia dilihat sebelum hilang tanpa jejak kira-kira pukul 4 petang pada 26 Mac 1967. Keadaan bilik masih tidak berubah kecuali perabot yang telah ditukar untuk dijadikan penginapan tetamu.
Ads
Jim Thompson datang ke Cameron Highlands bersama Constance Mangskau pada 24 Mac 1967 dan menginap di Moonlight Bungalow bersama-sama pemilik, Dr. Ling Tien Gi dan isteri, Helen Ling rakyat Singapura. Terdapat dua laluan yang dikatakan telah dilalui Thompson sebelum dia hilang di dalam hutan berdekatan.
Ada yang kata semasa sedang treking, Thompson menuju ke Lutheran Mission Bungalow.
Selepas dilihat berada di situ, Thompson tidak lagi kelihatan selepas itu.
Saudagar Sutera Thai Berjaya
Ads
Jika masih hidup, umur Jim Thompson kini adalah 113 tahun. Kehilangannya juga ada dikaitkan dengan berbagai kisah dan teori, sama ada pengkhianatan, jenayah mahupun kisah-kisah mistikal. Semasa Perang Dunia Kedua, Jim Thompson telah direkrut oleh William Joseph Donovan dan dilantik sebagai pegawai bertauliah di dalam Jabatan Perkhidmatan Strategik (OSS) di mana pada tahun 1947 jabatan tersebut telah dibubarkan dan dikenali sebagai Agensi Perisikan Pusat (CIA).
Thompson yang fasih berbahasa Perancis telah menjalankan beberapa misi berbahaya di Perancis sewaktu pendudukan tentera Jerman. Selepas kemenangan di Eropah (7 Mei – 8 Mei, 1945), Thompson telah ditukarkan ke Sri Lanka. Dia dalam perancangan untuk ditempatkan di Thailand apabila tentera Jepun menyerah kalah dalam bulan Ogos – September pada tahun yang sama yang sekali gus menamatkan Perang Dunia Kedua. Thompson tiba di Thailand beberapa minggu selepas pihak Jepun menyerah kalah dan Thompson ditugaskan untuk menyelia pejabat OSS di Bangkok.
Setelah menamatkan khidmatnya bersama Tentera Amerika Syarikat, Jim Thompson kembali ke Amerika untuk membawa isterinya ke Thailand. Bagaimanapun isterinya enggan mengikutnya ke Thailand dan akhirnya mereka bercerai.
Thompson kembali ke Bangkok seorang diri, kemudian Thompson bekerja bersama beberapa orang pelabur Thai dan menubuhkan Thai Silk Company pada tahun 1947. Walaupun dia telah meninggalkan bidang ketenteraan dan perisikan, namun ramai yang mengesyaki Thompson masih melakukan kerja-kerja penyamaran untuk CIA.
Ads
Semasa Perang Vietnam, kawan rapatnya (juga merupakan rakannya di dalam OSS) iaitu General Edwin Black menjadi ketua operasi Tentera Udara Amerika Syarikat di Laos dan berpengkalan di Thailand. Thompson menumpukan sepenuhnya untuk menggiatkan semula industri kecil menenun sutera menggunakan tangan, yang merupakan kemahiran yang diwarisi oleh wanita Thailand selama berkurun bagaimanapun ia sudah tidak lagi popular.
Thompson menemui kaum Cham yang beragama Islam, mahir dalam menenun sutera di kawasan Bankrua berhampiran Bangkok dan membekalkan mereka dengan alat-alat untuk menenun, mewarna dan bantuan teknikal. Thompson juga dikatakan membantu beribu-ribu penduduk miskin Thailand keluar daripada belenggu kemiskinan. Dia dikatakan memberikan sebahagian daripada saham-sahamnya dalam Thai Silk Company kepada penduduk-penduduk miskin ini.
Jim Thompson House, Bangkok
Jim Thompson House tersenarai sebagai 10 tempat wajib dilawati jika ke Bangkok, Thailand. Rumah Jim Thompson ini memang cantik kerana berunsur Thai dan campuran budaya asia selain menghadap sebatang sungai. Semasa hayat Jim Thompson, dia telah membeli 6 buah rumah tradisional Thailand dan dirangkumkan menjadi sebuah kediaman yang besar untuk didiami.
Selepas kehilangan Thompson, Thai Silk Company telah memindahkan operasinya ke Khorat, sebuah bandar yang menjadi pengkalan operasi untuk Tentera Di Raja Thailand. Rumah Jim Thompson di Rama 1 Road, Bangkok kini dijadikan sebagai muzium yang menempatkan beberapa ukiran dan hasil seni daripada Thailand yang dikumpul oleh Jim Thompson.
Jim Thompson juga dikenali sebagai pengumpul barang-barang seni. Pengunjung boleh datang meninjau rumah peninggalannya yang kini dijadikan muzium setiap hari dari jam 9 pagi hingga 6 petang.
Pulau Jeju merupakan pulau terbesar serta paling selatan di Korea Selatan dan memiliki daya tarikan pelancongan yang pelbagai. Pulau ini sangat popular di kalangan rakyat Korea Selatan sendiri sebagai destinasi percutian.
Beberapa filem serta rancangan popular Korea Selatan seperti Running Man pernah dirakam di Pulau Jeju, sekaligus membawa keindahan Pulau Jeju kepada dunia luar.
Pulau Jeju kini semakin mudah dilawati rakyat Malaysia selepas Air Asia mengumumkan penerbangan terus dari KL-Jeju dengan kekerapan empat kali seminggu!
Sehubungan dengan itu, Korea Tourism Organization (KTO) Malaysia-Brunei mengambil inisiatif mengadakan seminar Discover New Jeju. Ia bertujuan memberi pendedahan secara terus Pulau Jeju kepada pengunjung dan media semasa.
Seminar dirasmi Ketua Pengarah Biro Pelancongan Wilayah Khas Pulau Jeju, Encik Lee Seung Chan. Penerangan seminar Pulau Jeju merangkumi penerbangan, tempat tinggal, pengangkutan di sana, makanan halal serta lokasi menarik untuk dilawati.
Tahun lepas sahaja, direkodkan seramai 66,000 pelancong Malaysia berkunjung ke Pulau Jeju dan ramai yang datang gaya backpackers. Dengan adanya penerbangan terus, dijangka semakin ramai pelancong Malaysia ke sana.
Pulau Jeju beriklim empat musim. Ini sudah tentu antara sebab utama anda mahu ke sana. Pilihan mengikut musim yang anda impikan. Pengalaman ini dapat dirakam dalam bentuk foto dan video kenangan serta dapat dikongsi bersama yang lain.
Pulau Jeju memiliki rangkaian sistem pengangkutan yang efisyen. Ada bas antara bandar, bas pelancong, kereta sewa dengan GPS, atau teksi. Anda boleh pilih dengan harga yang berpatutan. Sistem bas paling murah serta efektif dengan aplikasi kad sentuh dan Wi-Fi percuma.
Luas Pulau Jeju hampir tiga kali keluasan Singapura. Kebiasaannya empat hari diperlukan bagi anda lawati hampir setiap lokasi menarik jika menyewa kereta. Kereta di sana dipandu sebelah kiri. Pemanduan di sana mudah kerana Pulau Jeju tidak sarat dengan trafik. Anda tidak akan sesat selagi berpandukan sistem GPS. Jika menyewa, jangan lupa meminta GPS versi English.
Menariknya, Pulau Jeju ada juga menawarkan kereta sewa elektrik. Terdapat lokasi awam yang anda boleh cas semula bateri secara percuma. Pulau Jeju menyasarkan penggunaan total kereta elektrik menjelang 2030. Ini baik untuk kebersihan persekitaran alam semulajadi.
Pulau Jeju memiliki banyak lokasi menarik seperti Gunung Hallasan yang tertinggi di Korea Selatan, Seongsan Ilchulbong; kon tuf arketik yang dibentuk oleh letusan hidrovolkanik di atas laut yang cetek kira-kira 5 ribu tahun yang lalu, Love Land; taman tema erotik sesuai foto kenangan yang mencuit hati, Jeongbang Waterfall; air terjun setinggi 23meter berhampiuran lautan, Manjanggul; pada ketinggian 23m, tinggi 30m dan panjang 8.928km, ia adalah tiub lava yang ke-12 terpanjang di dunia, Teddy Bear Museum, Seonimgyo Bridge, dan banyak lagi menanti anda terutamanya pemandangan indah ketika musim yang berlainan.
Jika bercadang atau merancang percutian keluarga ke Taiwan, catatkan destinasi Leofoo Village sebagai destinasi yang perlu dikunjungi. Terletak di daerah Hsinchu Taiwan, Leofoo Village antara destinasi terbaik percutian keluarga yang tidak harus dilepaskan untuk dikunjungi. Segalanya terdapat di sini, dari taman tema bertaraf dunia, binaan landskap dunia mengkagumkan, penginapan empat bintang unik lagi esklusif serta sajian makanan lazat yang Halal.
Mini Replika Binaan Dunia Jadi Tarikan
Apabila berada di dalam kawasan Leofoo Village, singgah sebentar di Window On China untuk melihat hasil ketelitian serta kehalusan mini replika pelbagai jenis bangunan dan binaan termasyhur dunia. Window On China telah dianugerahkan antara 10 destinasi tumpuan pelancong ke Taiwan. Kira-kira 133 miniatur bangunan terhidang di hadapan mata termasuk Dewan Memorial Sun Yat-Sen, Taiwan, Menara Pisa Itali, St Basil Rusia, dan patung Statue of Liberty Amerika Syarikat. Jangan lupa untuk mengambil gambar kenang-kenangan di sini.
Menjengah Harimau ‘Life of Pi’
Bagi menambahkan keseronokan percutian di lokasi ini, berkunjunglah ke Leofoo Village Theme Park. Ia adalah taman tema yang terdiri daripada empat konsep hiburan mengikut tema beberapa negara seperti African Safari, South Pacific, Wild West, dan Arabian Kingdom. Malah, ia menawarkan lebih 30 permainan serta aktiviti di zon basah dan kering yang cukup menghiburkan terutama roller coaster berbentuk U yang kedua tertinggi di dunia.
Terdapat juga haiwan liar dibiar bebas berkeliaran seperti harimau, singa, zirafah dan badak. Setiap spesies haiwan ditempatkan dalam komuniti sendiri dengan pintu jeriji besi sebagai pemisah. Kalau pernah menyaksikan filem pecah panggung Life of Pi, harimau yang digunakan di dalam filem tersebut dipinjamkan dari taman ini dan dikatakan telah menjadi ‘selebriti terkenal’ di sini.
Pengunjung boleh memilih menjelajah seluruh African Safari dengan bas atau keretapi mini yang disediakan. Haiwan lain yang unik terdapat di sini adalah spesies alpaca. Anda dibenarkan memberi haiwan jinak ini makan dengan membeli makanan yang disediakan berhampiran ruang sangkarnya.
Selain bersantai dan mengenali haiwan, pengunjung berpeluang menyelami dunia koboi di Wild West, menghayati hikayat 1001 malam Aladdin di Arabian Kingdom dan mencuba pelbagai permainan air di South Pasific. Jangan lupa untuk singgah di kedai cenderamata untuk membawa pulang beberapa buah tangan sebagai kenang-kenangan, terutamanya ikon haiwan alpaka yang comel.
Hidangan Lazat Timur Tengah
Sebagai memenuhi keperluan pelancong Muslim untuk dapatkan hidangan halal, pengunjung beragama Islam boleh mendapatkan makanan cita rasa Timur Tengah di Restoran Aladdin dalam kawasan Leofoo Village Theme Park dengan mudah.
Pelbagai menu Asia Barat tersedia buat pengunjung seperti Grilled Squid Salad, Chick Peas Sauce & Pita, Red Lentil, Stewed Mutton, Grilled Chicken Leg dan Puding Nasi. Anda pasti tertarik melihat nasi briyani berbentuk piramid menghiasi pinggan dengan lauk kurma kambing atau ayam tandoori. Apa yang penting, taman tema ini menyediakan pelbagai kemudahan untuk pengunjung muslim termasuk bilik solat dan tandas berpaip.
Check In Dalam Safari
Rehatkan lelah anda selepas seharian berlibur dengan memilih menginap di Leofoo Resort tidak jauh dari Window On China dan terletak berhampiran Leofoo Village Theme Park.
Membangunkan konsep Safari inspirasi dari negara Afrika, resort ini menawarkan hanya 161 buah bilik esklusif demi menjaga hak bersendirian tetamunya. Tidak kira kanak-kanak atau golongan dewasa pasti terpukau dengan konsep unik yang ditawarkan iaitu menginap bersama haiwan disekeliling resort.
Umpama berada di dalam zoo, anda boleh melihat zirafah, kuda belang, badak, dan banyak lagi hanya dari jendela kamar atau baring di atas katil. Jangan risau mengenai masalah bau-bauan haiwan yang timbul dari persekitaran safari, kerana setiap kamar dilengkapi dengan gelas kaca yang nyah bau.
Bilik anda tidak akan sesekali memberikan bau yang kurang menyenangkan. Jika anda berada di jambatan yang menghubungkan kawasan safari ke resort, terdapat haiwan terutama zirafah menghulur keluar kepala, jangan sentuh atau memberi makanan. Ianya perkara yang sangat dilarang di sini.
Pada malam hari pula, terdapat persembahan dari suku kaum Afrika yang begitu mengujakan dengan rentak tarian yang pasti membuatkan mata anda tidak berkelip. Memang sesuai sekali resort ini diberi pengiktirafan sebagai ‘Asia’s first and only ecological and animal themed resort’.
Cara Ke Sini
Keretapi (Taiwan Railway)
Ambil perkhidmatan keretapi Taiwan Railway dari stesen Taipei ke stesen Chungli. Setibanya di Chungli Train Station ambil perkhidmatan bas (Hsinchu Transport Bus) terus ke Leofoo Village dengan perjalanan selama 70 minit.
THSR (Taiwan High Speed Rail)
Setibanya di stesen THSR Hsinchu, pengunjung boleh menggunakan perkhidmatan teksi dengan masa perjalanan hanya 20 minit untuk sampai di Leofoo Village.
Kereta
Menggunakan lebuhraya nombor3 dan keluar ke Guansi (4km)
Menggunakan lebuhraya nombor1 dan keluar ke Youth (13km)
Bas
Bas ini bergerak terus ke Leofoo Village dari Taipei (Sungshan Airport Station) mengikut jadual masa perjalanan yang telah ditetapkan. Rancang masa anda lebih awal jika ingin menggunakan perkhidmatan ini agar tidak tertinggal bas. Lebih kurang 90 minit masa perjalanan yang diperlukan untuk sampai di destinasi.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Kalau diikutkan fungsi masjid sebenarnya lebih daripada ruang untuk mendirikan solat semata-mata. Namun hari ini, ada segelintir pengurusan masjid yang 'sangat menjaga' rumah ibadat umat Islam ini sehingga mewujudkan pelbagai undang-undang manusia yang ada kalanya tidak boleh diterima akal.
Ada yang melarang pengunjung untuk masuk sesuka hati dan berlegar-legar di kawasan masjid tanpa tujuan. Walau bagaimanapun, mungkin itu hanya segelintir sahaja pengurusan rumah ibadat bagi umat Islam yang menetapkan syarat sebegitu. Hari ini masjid menjadi lokasi penyatuan seluruh umat Islam untuk datang singgah. Namun, ketika pandemik ada beberapa syarat yang perlu dituruti pengunjung dan langsung tidak membebankan. Antaranya mendaftar diri melalui aplikasi yang disediakan, memakai pelitup hidung dan menjaga jarak sosial.
Ini antara masjid yang menjadi tumpuan ramai bukan sahaja untuk beribadah, malah membelek setiap sisi unik dan cantik yang ada pada masjid tersebut:
Masjid Sri Sendayan, Negeri Sembilan
Sekali pandang, masjid ini macam masjid di luar negara. Tidak sangka pula masjid yang diwakafkan oleh seorang individu ternama ini berada di Malaysia. Itulah keunikan Masjid Sri Sendayan yang dikatakan mempunyai ciri-ciri seperti Masjid Nabawi dan Taj Mahal. Bahkan menjadi ini telah menjadi tarikan terbaharu masyarakat Islam di Negeri Sembilan dan pelancong. Masjid Sri Sendayan terletak di Bandar Sri Sendayan tersergam indah dengan keunikan dan kehalusan seni bina Islam, sekali gus memukau setiap mata yang memandang.
Sesiapa sahaja yang singgah di masjid ini pasti mengabadikan gambar kenang-kenangan sebagai simpanan peribadi. Disebabkan keunikan seni bina masjid itu sendiri, ia tidak henti-henti menerima kunjungan orang ramai termasuk dari luar sejak dari awal masjid ini memulakan operasi secara rasmi. Tidak salah jika ramai ingin bandingkan rupa masjid ini dengan Taj Mahal, India kerana pemandangan masjid unik yang mempunyai bangunan keseluruhan berwarna putih seakan sama dengan bangunan ikonik terkenal itu.
Masjid Lapan Kubah, Terengganu
Jika anda ke Jerteh, Terengganu pasti terpesona dengan sebuah masjid seni binanya seakan-akan St. Basil Cathedral yang merupakan binaan ikon terkenal wajib melawat jika ke Moscow, Rusia. Jangan tidak tahu, masjid ini telah berjaya menarik perhatian orang ramai. Terletak di Kampung Lapan Kotak, Jerteh, Terengganu, Masjid Lapan Kubah atau mendapat jolokan sebagai 'Masjid Russia' menarik perhatian orang ramai erdiri gah di kawasan sawah padi di tengah-tangah kampung itu. Masjid ini menggantikan masjid kayu sebelum ini yang berusia lebih 100 tahun dan usang.
Masjid Lapan Kubah kini menjadi antara masjid ikonik yang menjadi tumpuan penduduk di dalam dan luar negeri. Keunikan seni bina masjid ini dengan kombinasi warna kubah yang berwarna-warni membuatkan masjid itu yang mula digunakan sejak tahun 2017 tidak putus-putus dikunjungi. Ada yang sanggup datang dari jauh bukan sekadar untuk melihat malahan dengan niat untuk turut solat di masjid. Dibina sepenuhnya menggunakan 100 peratus tenaga dan arkitek tempatan, masjid yang dibina di atas tanah bekas tapak sawah padi seluas 0.6 hektar itu boleh menampung 500 jemaah pada satu-satu masa.
Masjid Tanjung Bunga Pulau Pinang
Pulau Pinang destinasi pelancongan terkenal dan dikunjungi ramai. Namun ramai pengunjung luar yang tidak mengetahui tentang kewujudan sebuah masjid terapung di Tanjung Bungah. Kedudukannya yang strategik iaitu dalam perjalanan menuju ke Batu Feringghi menjadikan masjid berkenaan sebagai tempat persinggahan di kalangan pengujung bukan sahaja untuk solat malah bagi merehatkan badan sambil bersantai.
Keadaannya yang terapung atas permukaan air laut cukup unik dan indah dipandang oleh sesiapa sahaja. Reka bentuknya yang unik sememangnya mengagumkan manakala kubah pula berbentuk aerodinamik, sesuai dengan persekitaran lautan. Keunikan masjid terapung diperkukuhkan lagi dengan menara azan setinggi tujuh tingkat yang dihiasi dengan ukiran kayu jati dan seni khat kaligrafi dari Indonesia.
Masjid Sultan Iskandar, Johor
Masjid Sultan Iskandar, terletak di Bandar Dato’ Onn, Johor menjadi masjid pertama di negara ini yang diisytihar sebagai masjid pelancongan. Selain tempat beribadat untuk umat Islam, Masjid Sultan Iskandar juga berperanan sebagai medium bagi menyampaikan keindahan dan kefahaman syiar Islam dengan lebih mendalam khususnya kepada masyarakat Islam dan juga bukan Islam. Bersempena dengan pengiktirafan masjid pelancongan ini juga, Masjid Sultan Iskandar turut menyediakan fasiliti Galeri An-Nur yang mempamerkan bahan mengenai agama Islam selain sebuah bilik teater bagi memberikan kepuasan maksimum kepada pengunjung-pengunjung untuk mendalami konsep-konsep Islamiah.
Bagi memantapkan lagi tadbir urus masjid secara profesional pula, pengurusan masjid ini mengambil inisiatif dengan membariskan petugas-petugas masjid selaku pemandu pelancong bagi memberikan pendedahan kepada pengunjung dan pelancong yang hadir sebagai platform interaksi dua hala seperti sesi soal jawab, demonstrasi dan sebagainya.
image via google
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!