Kanchanaburi yang bermaksud batu permata terletak kira-kira tiga jam perjalanan dari Bangkok merupakan destinasi pelancongan di Thailand yang perlu dikunjungi.
Jika cuaca baik dan hari cerah, anda boleh melihat ramai pelancong sedang menyeberangi jambatan kereta api di Sungai Kwai, di wilayah Kanchanaburi, Thailand yang berlatar belakangkan landskap yang begitu indah. Jambatan itu begitu popular apabila sebuah filem Hollywood mengenainya diterbitkan pada tahun 1957 iaitu The Bridge Over the River Kwai.
Namun, bukan kerana filem itu sahaja ia begitu terkenal dalam kalangan pelancong tetapi kisah hitam yang pernah terpalit ditanah tersebut. Jambatan keretapi Sungai Kwai adalah sebahagian daripada Landasan Keretapi Maut yang menghubungkan Thailand dan Burma. Kanchanaburi bersempadan dengan Burma (Myanmar) dan pernah mempunyai laluan keretapi yang menjadi penghubung antara negara Thailand dan Myanmar.
Dahulunya ia digunakan untuk laluan askar Jepun dalam usaha melawan tentera British dan sekutu-sekutunya. Selepas perang tamat pada tahun 1945, landasan tersebut menjadi hutan belantara. Namun kini, ia menjadi tumpuan dunia untuk melawat.
Penindasan Kejam
Landasan kereta api Thailand- Burma yang digelar sebagai Landasan Maut ini, dibina dalam tempoh masa yang agak singkat oleh hampir 100,000 tahanan Perang Dunia Kedua serta buruh kasar. Pembinaan landasan sepanjang 415 kilometer itu dimulakan pada Oktober 1942 dan berakhir di Konkoita, utara Thailand pada Oktober 1943. Ia digunakan dalam rancangan serangan Jepun terhadap tentera Britain di India serta menguasai jalan dan ruang udara yang digunakan tentera bersekutu.
Rakyat Thailand juga pernah menjadi buruh landasan pada awal pembinaannya, namun ketegangan berlaku antara mereka dan tentera Jepun selepas pasukan keselamatan itu bertindak mengambil alih rumah-rumah ibadat sebagai tempat penginapan selain tidak menghormati sami Buddha tempatan. Semua pihak maklum bahawa tahanan perang serta buruh yang dipaksa menyiapkan landasan tersebut turut berdepan layanan buruk oleh tentera Jepun yang menyeksa mereka tanpa belas kasihan.
Mangsa sering dipukul dan tidak diberi bekalan makanan yang cukup, rawatan perubatan yang diperlukan atau masa rehat sewajarnya ketika pembinaan dilakukan. Sikap serta perbuatan ganas tentera Jepun itu menyebabkan ramai warga Thailand benci terhadap mereka lalu bertindak membantu tahanan perang yang terlibat dalam pembinaan landasan neraka itu.
Untuk pembinaan Jambatan Kereta api di atas Sungai Kwai saja dikatakan telah mengorbankan ribuan tawanan perang dan buruh paksa semasa mereka menjalankan kerja-kerja pembinaan jambatan dan landasan disekitarnya. Sepanjang tempoh tersebut seramai 16,000 orang tawanan perang dan lebih 100,000 orang buruh dari Asia meninggal dunia dan hilang. Angka sebenar orang-orang Asia terkorban tidak dapat dikesan dengan tepat kerana rekaod-rekod yang mengandungi maklumat ini telah dimusnahkan oleh pihak pentadbiran Tentera Jepun pada akhir Perang Kedua. Secara puratanya setiap kilometer landasan yang dibina itu menelan 38 nyawa manusia atau seorang meninggal dunia pada setiap ela jalan kereta api itu disiapkan.
Antara pekerjaan berat yang perlu dilakukan tahanan perang seperti menebang pokok-pokok besar, membersih kawasan laluan, meneres lereng-lereng bukit, menimbus kawasan-kawasan rendah, menyusun landas(sleeper), mengangkut rel kereta api, mengangkut batu-batu dan membina jambatan. Bayangkan betapa sukar dan tersiksanya mereka menjalankan kerja-kerja tanpa bantuan alat teknologi canggih dan hanya berbekalkan kudrat yang ada seperti mengangkat batu menggunakan tangan sahaja. Mereka hanya diberi makan sekali sehari iantu hanya menu nasi semangkuk. Buruh-buruh ditempatkan di rumah panjang iaitu bangsal buluh yang beratapkan daun sagu atau nipah dan berlantaikan buluh.
Setiap bangsal dimuatkan lebih kurang 100 orang. Mereka diarahkan membuat pelbagai kerja. Mereka dikawal oleh tentera Jepun dengan keras. Jika mereka melakukan kesalahan, lambat atau letih mereka akan dipukul dengan buluh, rotan atau di tampar. Selain daripada makan minum yang tidak mencukupi mereka juga menghidap pelbagai penyakit seperti demam malaria dan cirit birit. Ubat-ubatan tidak mencukupi dan kematian berlaku bila-bila masa. Buruh yang mati diisi ke dalam guni dan ditanam dimerata-rata tempat. Ada yang ditanam, dibakar atau dihanyutkan ke sungai.
Memperingati Mangsa Tahanan Perang
Terdapat sebuah tanah perkuburan berhampiran jambatan yang dibina pada era Perang Dunia Kedua itu iaitu Kanchanaburi War Cemetery. Ia merupakan tempat persemadian ribuan tawanan perang yang mati ketika bekerja membina landasan kereta api maut. Ia menempatkan 3,000 tentera bersekutu yang gugur di antara sempadan Myanmar dan Thailand itu. Banyak tugu yang mengandungi tulisan di tanah perkuburan itu dibiayai oleh Suruhanjaya Komanwel Tanah Perkuburan Perang yang beribu pejabat di Britain.
Tulisan tersebut berbentuk lirik lagu dan sajak merupakan bukti yang menyayat hati tentang peperangan yang pernah berlaku di sana.
Keperitan & Kesengsaraan
Pengunjung juga boleh ke Hellfire Pass untuk melihat sendiri kesan tinggalan peristiwa hitam yang berlaku ketika zaman penjajahan lalu. Terdapat slot tayangan video mengenai pembinaan landasan maut yang meruntun jiwa di Muzium Hellfire Pass. Bayangkan jika mereka itu sebahagian daripada ahli keluarga kita. Perit dan sangat sadis nasib yang menimpa mereka. Suasana pilu pasti terasa tatkala kaki menjejak laluan Konyu Cutting. Trek jalan kaki ini merupakan tapak asal sebahagian laluan landasan keretapi maut. Pelbagai kesan tinggalan tawanan perang boleh kelihatan. Kebanyakkan pengujung dan pelancong yang datang ke sini adalah warga Australia yang merupakan kenalan atau keluarga terdekat mangsa tahanan perang.
Pakej Keretapi
Boleh dikatakan kesan daripada peristiwa pembikinan landasan keretapi maut ini telah membawa ribuan pelancong berkungjung ke Kanchanaburi sekaligus ia tersenarai dalam destinasi yang perlu dikunjungi. Bentuk muka buminya yang indah dan diwarnai dengan pelbagai landskap menarik membuatkan sesiapa sahaja jatuh cinta kepada Kanchanaburi. Jangan lupa untuk mengalami sendiri perjalanan menaiki keretapi menyusuri landasan yang dibina oleh mangsa tahanan perang ini.
Kemudahan keretapinya kelihatan agak usang tetapi masih mempunyai kudrat yang diselenggara dengan baik untuk membawa pelancong mahupun penduduk tempatan merasai perkhidmatan kesan sejarah yang ditinggalkan.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI