Sebelum ini, kawasan Kampung Pulau Tengah, Kubang Kerian Kelantan hanyalah sebuah perkampungan yang tiada keistimewaan malah terpinggir daripada pembangunan tetapi kini ia seakan mencetus fenomena baharu apabila semakin menjadi tumpuan orang ramai selepas tular di laman media sosial sejak sebulan lalu sebagai destinasi ekopelancongan domestik.
Kampung Pulau Tengah sebelum ini hanya meriah dengan aktiviti penduduk kampung sahaja. Namun setelah tular dilaman sosial, lokasi yang mempunyai keindahan alam semula jadi mampu menarik kehadiran pengunjung sehingga mencecah lebih 500 orang sehari pada hujung minggu. Pertambahan pengunjung yang luar biasa itu bukan sahaja memberikan kelebihan kepada Kampung Pulau Tengah yang menawarkan kombinasi ekopelancongan, agropelancongan serta pelancongan desa, sekali gus menjadi lubuk rezeki bagi penduduk di kampung berkenaan.
Pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk para pengunjung menikmati keunikan di Kampung Pulau Tengah antaranya:
- Merentasi denai Sungai Pengkalan Datu melalui jambatan sejauh satu kilometer.
- Menikmati hidangan makanan di atas pokok setinggi kira-kira 10 meter.
- Menyusuri sungai dengan menaiki bot.
- Melawat taman kelip-kelip serta ladang lebah kelulut.
- Menuai nira nipah.
- Mengutip lokan.
Info:
- Jika pengunjung memilih untuk melakukan aktiviti menyusuri sungai dengan menaiki bot, pengunjung berpeluang melewati tiga kampung sejauh tiga kilometer iaitu dari Kampung Pulau Tengah hingga ke Kampung Pulau Melaka melihat aktiviti komuniti setempat serta menikmati keindahan alam semula jadi di Sungai Pengkalan Datu.
- Setakat ini terdapat tiga bot yang disediakan penduduk kampung dan ia dapat menampung permintaan seramai 18 penumpang pada setiap masa dengan kadar bayaran yang dikenakan antara RM10 hingga RM15 bermula seawal 10 pagi hingga 6.30 petang.
- Bagi taman kelip-kelip ia dibuka bermula 8.30 malam sehingga 10.30 malam pada setiap hari kecuali ditutup pada hari Selasa dan Khamis yang terletak 200 meter dari Kampung Pulau Tengah dengan kadar bayaran bermula RM10 hingga RM15 dengan menaiki perahu. Kampung Pulau Tengah ini mempunyai hutan yang masih dipelihara dengan baik, oleh itu pengunjung berpeluang merasai pengalaman melihat kelip-kelip sekitar tempoh satu jam dengan menaiki perahu.
- Di Restoran Astacona Riverview Island pula mencipta kelainan bagi menarik kedatangan pengunjung dengan menawarkan peluang kepada mereka untuk menikmati hidangan di atas pokok setinggi hampir 10 meter. Restoran ini sudah mula bertapak sejak lima tahun lalu dengan kehadiran hanya 50 orang pelanggan sehari, namun kini ia mencecah berkali ganda sehingga 400 pelanggan sehari sejak tempat itu tular. Bagi menjaga keselamatan, hanya dua orang pelanggan sahaja dibenarkan menikmati hidangan atas pokok untuk mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini, malah pengunjung juga berpeluang untuk menaiki menara itu bagi melihat pemandangan dari atas dengan kadar bayaran RM1 seorang dengan had masa 30 minit.
Jom cuti-cuti Kelantan~
Foto: FB Orang Kelantan | Sumber: Bernama