Kampung Kuantan adalah kampung melayu tradisi yang terletak di daerah Kuala Selangor. Kampung ini terletak di pinggir Sungai Selangor. Ia banyak menyimpan sejarah silam tersendiri terutama dalam penggunaan sungai berhampiran.
Sebagai sebuah kampung tradisi, tentulah penduduk Kampung Kuantan ini kebanyakkannya menjadi peladang di ladang sawit, penoreh getah dan nelayan menangkap ikan di Sungai Selangor.
Penduduk asal Kampung Kuantan turut menerima orang-orang luar dari Selangor sebagai penduduk tetap untuk bersama-sama memajukan kampung tersebut dengan melakukan beberapa kegiatan seni dan pertukangan tangan seperti membuat atap nipah yang banyak tumbuh liar di sepanjang Sungai Selangor.
Seperkara lagi yang boleh dibanggakan, Kampung Kuantan juga dikenali sebagai syurga kaki pancing udang galah. Adalah fenomena biasa jika kelihatan berpuluh batang pancing tersusun rapi di atas sampan ketika musim udang galah galak memakan umpan di sekitar sungai Kampung Tanjung Siam dan Kampung Kuantan, di Kuala Selangor.
Ditambah pula dengan keadaan cuaca panas dan aliran air mati yang menyebabkan ramai kaki pancing sekitar Lembah Klang dan juga Perak tidak melepaskan peluang memancing udang galah bersepit biru.
Perkhidmatan bot dikenakan sewa antara RM100 ke atas sehari dan mampu memuatkan dua hingga tiga pemancing saja. Harga tersebut cukup berbaloi kerana dari hebahan pengunjung yang pernah datang ke sini pasti tidak membawa balik tangan kosong.
Tips Penduduk Kampung
Jika ingin menjual hasil tangkapan, terdapat beberapa orang peraih akan menunggu untuk membeli hasil tangkapan anda. Jika bernasib baik anda boleh mendapat habuan mencecah ribuan ringgit sehari dengan hanya memancing di sekitar Sungai Selangor Kampung Kuantan.