Kampung Kebudayaan Monsopiad dibuka pada 1 Mei 1996 untuk memperingati kegagahan pahlawan Kadazan dan pemburu-pemburu kepala Monsopiad. Kampung tradisi tersebut merupakan tapak bersejarah yang dibina diatas tanah yang diduduki Monsopiad dan tempat Monsopiad menjalani kehidupan seharian sejak tiga abad yang lalu.
Kampung ini kini diangkat sebagai sebuah penempatan yang memberi sumber pengetahuan interaktif dan menyerikan kehidupan seharian kumpulan etnik yang terbesar di Sabah iaitu Orang Kadazan Dusun. Setiap hari tarian suku kaum Kadazan Dusun serta muzik tradisional dipersembahkan disini.
Kampung Kebudayaan Monsopiad yang didirikan untuk mengenang jasa seorang pahlawan Kadazan yang agung dan juga merupakan seorang pemburu kepala (head-hunter) Monsopiad. Kampung Kebudayaan Monsopiad berazam menjadikannya sebagai sebuah destinasi atau muzium hidup, agar dapat memberi kesedaran kepada generasi muda tentang jasa nenek moyang suku kaum ini yang mempertahankan kaum Kadazan.
Sepanjang hidup Monsopiad, dia memburu 42 biji tengkorak kepala musuhnya sebagai bukti kegagahannya. Dikatakan tengkorak itu adalah hasil ‘buah tangan’ diperoleh Monsopiad ketika memerangi musuh dan penceroboh kampungnya, termasuk orang yang datang untuk mencabarnya.
Jumlah tengkorak dimiliki Monsopiad dikatakan paling banyak berbanding beberapa pemburu kepala lain di daerah ini, termasuk pencabar terdekatnya dikenali sebagai Gantang dari Kampung Minintod. Gantang dikatakan turut memiliki sejumlah tengkorak tetapi dia sendiri tumpas di tangan Monsopiad dan kepalanya adalah antara koleksi disimpan Monsopiad sebelum diambil waris keluarga Gantang dan diserahkan kepada muzium negeri.
Kini, baki tengorak-tengorak ini dijaga baik oleh anak cucunya yang memegang kuat dengan adat tradisi Kadazan. Pengunjung turut berpeluang dibawa kerumah mereka, iaitu tempat piala-piala pemburuan kepala Monsopiad dipamerkan dan dijaga dengan rapi. Terdapat pantang larang yang perlu dipatuhi pengunjung iaitu, mereka tidak boleh bercakap besar dan mengambil apa-apa barang yang terdapat di situ.
Di dalam rumah itu, selain tengkorak, beberapa barangan lama seperti tempayan, pedang dan aksesori bobohizan atau bomoh wanita Kadazandusun, gambar dan artikel berkaitan ritual penjagaan tengkorak turut dipamerkan sebagai maklumat tambahan buat pengunjung. Tengkorak yang disimpan di rumah itu dikatakan dijaga rapi sebagai warisan keluarga Monsopiad dan menjalani proses ritual penjagaan dikendalikan Bobohizan sejak lebih 300 tahun.
Mengimbas kembali zaman lampau, iaitu zaman pemburuan kepala dan pemujaan roh, ia diperintah oleh seorang Bobolizan iaitu dukun yang bertanggungjawab menjaga kesejahteraan kampung serta gangguan daripada anasir luar. Beliau memerintah kampung ini dan juga menjaga kesihatan fizikal dan jiwa kaumnya. Kini kampung ini tetap dikendalikan oleh orang keturunan Monsopiad.
Selain itu anda boleh merasai tapai, sejenis arak beras tempatan yang hasil dari proses penapaian dan menonton tarian tradisi yang disembahkan oleh komuniti tempatan yang bersemangat.
Tapak peninggalan Monsopiad turut dianggap keramat kerana menempatkan sebiji batu monolit besar, dianggarkan seberat dua tan dan berketinggian empat meter dikenali sebagai Gintutun Do Mohoing. Ia dipercayai menjadi penjaga tempat berkenaan.
Di keliling batu itu, terpacak beberapa batang buluh yang hujungnya berbentuk seperti sarang ayam bertelur dipanggil `bangkahak’, dipercayai tempat Monsopiad mengeringkan kepala musuh yang dipenggalnya.
Walaupun disanjung sebagai pahlawan, Monsopiad dilihat menjadi ancaman kepada keselamatan penduduk kampung kerana kegilaannya memburu kepala walaupun tiada lagi musuh menceroboh. Ketika berada di kemuncaknya apabila menjadi orang yang digeruni pada masa itu, penduduk bimbang dia tidak dapat mengawal keinginannya untuk memenggal lebih banyak kepala apabila mula mencabar orang di sekeliling berlawan. Berikutan itu, penduduk kampung merancang membunuhnya dan pada satu ketika mendapat kesempatan tetapi Monsopiad hanya mengalami kecederaan kerana terkena buluh. Bagaimanapun, dia akhirnya mati apabila kecederaan itu gagal disembuhkan.
Sejak itu, kisah Monsopiad sebagai pemburu kepala paling digeruni di Penampang terus menjadi bualan penduduk dan diwarisi hingga ke hari ini.
Kampung Kebudayaan Monsopiad dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 6 petang. Terdapat empat sesi lawatan yang akan di bawa oleh pengiring iaitu pada pukul 10 pagi, 12 tengah hari, 3 dan 5 petang. Manakala tarian kebudayaan akan diadakan pada pukul 11 pagi, 2 dan 4 petang.