Terkenal kerana ada pantai yang baru dibuka kepada umum, namun tatkala berkunjung ke Putrajaya jangan lupa untuk singgah melawat ke Taman Persahabatan Malaysia – China yang terletak di tapak kekal FLORIA Putrajaya iaitu Anjung Floria, Presint 4 Putrajaya.
Taman indah ini sudah beberapa tahun dibuka kepada umum dan sehingga kini kekal cantik. Direka bercirikan elemen ‘Lingnan-styled garden’ yang mana pengunjung dapat melihat keindahan tatkala berkunjung ke sini.
Saat memasuki taman Persahabatan Malaysia- China ini, kita akan terbuai dengan keindahan binaannya yang cukup unik selain adanya unsur-unsur kaligrafi China. Di tengah-tengahnya ada kolam yang cukup cantik dan perasaan tenang tatkala berada di taman ini.
Meneroka di setiap sudut taman ini, dua pokok jenis Michelia alba atau cempaka putih yang ditanam sebagai simbolik hubungan diplomatik kedua-dua negara. Penerapan pelbagai elemen seperti air, batu, bangunan, kaligrafi tumbuhan dan gunung adalah kombinasi yang sangat mendamaikan.
Motif kesenian tradisional Cina yang diterapkan pada setiap pembinaan bangunan ini juga menarik dan Taman Persahabatan bernilai RM1.5 juta ini adalah mercu tanda hubungan diplomatik yang kukuh antara Malaysia dan China.
Jadi kalau ke Putrajaya, jangan lupa singgah di sini.