Kalau Boleh Bukan Sekadar Kunci, Wrap Sekali Beg Anda Demi Keselamatan!

Share

Setiap kali nak letakkan bagasi anda di ruang kargo pesawat, pernah tak terfikir bahawa perlunya bagasi itu dikunci terlebih dahulu? Kalau anda rasakan perlu, bermakna firasat anda tepat kerana setiap hari, banyak laporan yang diterima daripada pihak berkuasa lapangan terbang dan syarikat penerbangan berkenaan kehilangan barang seperti pakaian, barang kemas dan barang elektronik.

Jangan harapkan orang lain jaga bagasi anda

Anda tidak boleh bergantung harap kepada pihak berkuasa lapangan terbang untuk mendapatkan semula barangan anda kerana mereka ada perkara yang lebih besar untuk difikirkan seperti keselamatan lapangan terbang dan orang awam. Anda juga tidak boleh menuduh kecuaian syarikat penerbangan atas kehilangan tersebut kerana kesilapan awal tidak mengunci bagasi terlebih dahulu, berpunca daripada anda sendiri.

Sekalipun MUNGKIN suspek datang daripada kalangan mereka, anda tidak mempunyai cukup bukti dan fakta untuk menuduh sesiapa pun, dan kecuaian pertama tidak memastikan bagasi dalam keadaan selamat adalah daripada anda sendiri. Jadi, sekiranya ada apa-apa yang berlaku, ia adalah tanggungjawab anda dan anda sendiri.

Kelebihan mengunci bagasi

Mengunci bagasi dengan selamat bukan sahaja menyukarkan sesiapa sahaja untuk mencuri barang berharga anda, malah kunci itu juga membantu untuk memastikan bagasi tidak mudah terbuka dengan sendiri dan mendedahkan segala khazanah didalamnya ketika petugas sedang memunggah bagasi kedalam atau keluar pesawat.

Anda juga pasti ingin mengunci bagasi anda ketika tinggal di hostel atau backpack hotel yang ramai dengan orang yang tidak dikenali, atau ketika anda sedang dalam perjalanan menaiki bas atau train. Sesetengah pelancong juga mengunci beg mereka walaupun hari siang kerana takut kecurian daripada housekeeper.

Kekurangan mengunci bagasi

Sekalipun mengunci bagasi anda dengan manga solek besar penumbuk tidak akan menjamin 100% keselamatan barang-barang yang ada didalamnya. Cuba buat carian di Youtube, ada banyak contoh dan penerangan yang boleh dijumpai mengenai bagaimana bagasi anda boleh dirompak, dicuri, dipecah atau dirosakkan hanya menggunakan sebatang pen! Dan tak susah untuk pencuri menoreh bagasi anda yang diperbuat daripada kain untuk mencuri barang yang anda simpan didalam.

Mengunci beg hanya usaha untuk menghalang pencuri-pencuri picisan yang mencari mangsa-mangsa mudah tetapi tidak kepada pencuri yang benar-benar terdesak dan mahir dalam kegiatan mencuri menggunakan apa kaedah sekalipun. Jadi bagaimana untuk mengelak daripada pencuri yang benar-benar terdesak ini?

Apa penyelesaian yang lebih baik?

Simpan semua barang berharga di dalam beg yang sentiasa anda bawa bersama tidak kira di mana sekalipun. Jika ada beg yang anda bawa naik ke tempat duduk pesawat, simpan semua barang berharga di dalam beg tersebut. Yang kedua, cari beg yang tahan lasak dan anti-pencuri. Ada beg-beg anti-pencuri yang dijahit bersama dawai besi bagi menghalang pencuri daripada mencuri barangan peribadi anda sesuka hati.

Oleh
Epul