Kalau Ada Kawan Tengah Stres Belanja Dia Try ‘Tubing’ Di Taman Negara Kuala Koh

Share

Taman Negara Kuala Koh destinasi pelancongan terletak di Gua Musang, Kelantan merupakan salah satu pintu masuk ke Taman Negara. Ia tidak lah gah seperti Taman Negara lain tetapi apa yang ada di sini tidak ditawarkan di tempat lain, misalnya terdapat lebih 350 spesies unggas yang boleh didapati dalam hutan hujan khatulistiwa ini.

Ia membuka ruang kepada pengunjung yang melalui negeri ini menjengah hutan tropika yang menyimpan kepelbagaian flora dan fauna berusia kira-kira 130 juta tahun. Hutan tebal sebegini tentunya lebih sesuai kepada mereka yang mencintai alam penuh sunyi, damai, bersantai dengan kemudahan ala kadar. Setiap pengunjung ke sini akan dikenakan beberapa bayaran untuk permit masuk, aktiviti lesen memancing sebanyak dan perlatan kamera

Canopy Walk

Laluan Canopy Walkway Taman Negara Kuala Koh sepanjang 420 meter menjadi tarikan pengunjung jika ke sini. Dibina dengan kabel besi dan jubah berkualiti tinggi serta tali yang kukuh dan mampu menampung berat lebih dari 5 tan. Ia tidak menggunakan paku yang mampu merosakkan pokok yang ada, hanya ruang kayu dipenuhi kabel dan tali. Laluan kanopi itu juga merupakan jambatan antara kanopi dengan hutan yang menghubungkan pusat pentas atau sekitar pokok.

Perasaan gayat pada mulanya ketika merentas laluan ini pasti hilang begitu sahaja setelah terpukau menghayati permandangan indah hutan menghijau dari paras atas. Jika bernasib baik, anda mungkin dapat melihat pelbagai jenis haiwan yang melintasi bawah Canopy Walkway di tanah seperti Kijang dan Babi Hutan.

Tubing

Bagi yang ingin merasa pengalaman meredah jeram di Sungai Neggiri, Gua Musang, Kelantan anda boleh mencuba di Taman Negara ini yang pasti menjadi kenangan paling berharga. Dengan bantuan nature guide berpengalaman, anda bersama tiub-tiub pelampung diturunkan ke sungai untuk memulakan ekspedisi.

Sebaik sahaja tiub-tiub hanyut ke arah kuala, anda akan disajikan keindahan alam semula jadi di sepanjang tebing sungai. Paling penting, jaket keselamatan hendaklah sentiasa dipakai bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.

Sebahagian besar laluan adalah sungai berarus tenang yang memberi peluang kepada anda menguasai teknik mendayung. Kemahiran mendayung tiub perlu dikuasai bagi membolehkan seseorang itu dapat mengawal tiub dengan baik. Dihiburkan gemeresik kicauan unggas, keseronokan di tengah-tengah sungai dimeriahkan dengan keriuhan suara-suara pengunjung lain yang menjerit keseronokan.

Masyarakat Pribumi Kuala Koh

Menariknya pengunjung juga berpeluang mengunjungi perkampungan Orang Asli suku kaum Batek kira-kira dua kilometer dari Taman Negara Kuala Koh. Kebanyakan pengunjung tidak akan melepaskan peluang melawat perkampungan yang terletak satu kilometer daripada pintu masuk Taman Negara tersebut. Keriangan anak kecil bermain bakal menyambut kedatangan anda. Keterujaan sekumpulan kanak-kanak yang asyik bermain pasti terhenti seketika jika dihulur bungkusan gula-gula atau jajan.

Masyarakat pribumi di sini merupakan satu-satunya suku kaum Batek yang masih mengamalkan kehidupan nomad. Suku kaum ini mendapat gelarannya kerana keadaan kulit mereka yang bercorak seakan-akan batik dipercayai akibat genetik yang akan hilang sebaik meningkat dewasa. Dahulunya mereka semua duduk di dalam hutan tebal kawasan Pertang. Sejak penempatan unit baru dibuka mereka berpindah di rumah batu didirikan. Walaupun rumah batu didirikan mereka masih mendiami rumah yang mempunyai ciri-ciri asal mereka.

PenginapanTersedia

Di Taman Negara Kuala Koh menyediakan kemudahan resort bertaraf dua bintang berupa chalet dan juga bilik asrama. Manakala sebuah kafe, surau dan bilik mesyuarat lengkap dengan kemudahan audio visual turut disediakan. Bekalan elektrik di sini agak terhad tetapi perhubungan telekomunikasi tidak terputus. Lokasi untuk tapak perkhemahan juga turut disediakan.

Oleh
Husna