Kaki Ride Mesti Singgah Ke Hype Motorsport Kalau Nak Cari Tempat Berteduh

Share

Ketika menerima pelawaan ke Hotel Hype Motorsport di Nilai, Negeri Sembilan, penulis membayangkan konsep apa yang ingin diketengahkan oleh pemilik.

Perjalanan menuju ke hotel dari Shah Alam hanya mengambil masa sekitar 45 minit. Alhamdulillah, tiada kesesakan lalu lintas perlu ditempuhi, walaupun perjalanan ketika itu waktu puncak.  Sebaik keluar susur Pajam, Waze membawa penulis bersama rakan ke destinasi yang dituju.

Perkarangan parkir hotel dipenuhi dengan barisan motosikal KTM dan jenama lain. Tanggapan awal penulis, tiada hiburan atau aktiviti dapat dilakukan sekitar kawasan berhampiran hotel berkenaan.

Tetapi lokasi itu dipilih kerana ia berada di berada di kawasan strategik yang mana hanya 15 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Litar Antarabangsa Sepang (SIC), kira-kira 40 minit ke Kuala Lumpur dan tidak ketinggalan berhampiran dengan Kompleks Membeli Belah Tekstil Nilai, Mitsui Outlet Sepang dan Putrajaya. 

Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Forte Hospitality Management Sdn Bhd, Johari Mohd Yusof, Hype itu mewakili kepada perasaan teruja sinonim dengan sukan perlumbaan yang sentiasa menghadirkan keterujaan kepada penonton.

Begitu memasuki kawasan lobi mulai terasa nuansa sukan perlumbaan. Pemilihan material bangunan sehingga ornamen-ornamen yang digunakan mencerminkan konsep hotel tersebut. 

Di hadapan kaunter pendaftaran diletakkan podium dan ruang menunggu dihiasi dengan perabot-perabot yang diperbuat daripada aksesori kenderaan.

Anda dapat melihat tempat duduk yang dihasilkan daripada tayar lori dan rim-rim motosikal menghiasi dinding serta dijadikan sebagai bingkai lampu di siling. Cukup menarik perhatian. Suasana lobi kelihatan klasik menerusi pemilihan warna hitam dan putih. Tidak berlebihan dalam tata rias, lebih ringkas dan santai. 

Selesai majlis pelancaran, penulis langsung menuju ke kamar di tingkat satu, dua dan tiga. Setiap tingkat mewakili litar antarabangsa dunia dan setiap bilik tertera perkataan Pit diikuti dengan nombor bilik.  

Hotel butik pertama di Asia berkonsepkan dunia pemotoran itu menawarkan 75 bilik menerusi susun atur kerusi, katil dan paparan grafik serta berlatarbelakangkan aksi perlumbaan.

Jelas Johari, ada beberapa bilik bertemakan lagenda pemotoran dunia antaranya Michael Schumacher, Valentino Rossi dan Tony Cairoli. 

“Kami menyediakan tiga jenis bilik iaitu Standard, Superior dan Family yang dilengkapi dengan penghawa dingin, kunci pintu dengan kad sentuh, akses Wi-Fi, televisyen lengkap dengan saluran siaran tempatan, saluran pemotoran dan jadual harian penerbangan,” katanya.

Hotel dengan kos pelaburan sejumlah RM12 juta itu sudah pun beroperasi dengan harga bilik bermula RM150 sehingga RM280 semalam.

Oleh
Epul