Berita

Jualan Kraf Negara Merosot Akibat COVID-19. Jom La Kita Bantu Beli Hasil Kraftangan Malaysia!

Share

Sebelum ini jika berkesempatan melancong ke negara luar terutamanya negara Asia, pasti anda berlumba-lumba untuk membeli barang-barang kraftangan mengikut identiti negara tersebut bukan?

Tahukah anda wahai rakyat Malaysia sekalian, bahawa negara kita juga mempunyai hasil kraf yang sangat cantik, berkualiti dan paling penting harga yang ditawarkan cukup berbaloi. Ramai pelancong luar sebelum ini yang begitu kagum dengan hasil kraf kita. Namun disebabkan wabak pandemik, nilai jualan kraf negara tahun ini dicatatkan pada RM182.7 juta, jauh merosot berbanding RM519.7 juta tahun lepas.

Kraftangan Malaysia sedang giat melaksanakan pelbagai program dalam usaha membantu usahawan kraf tempatan menghadapi situasi ekonomi yang amat mencabar ketika ini. Di antara usaha ini termasuklah Program Pembangunan Kemahiran Komuniti yang dilaksanakan di bawah Inisiatif Pembangunan Kemahiran Dan Peningkatan Kemahiran, dalam usaha membangun dan memperkasa komuniti kraf bagi melibatkan diri secara langsung dalam perusahaan kraf, untuk menjana pendapatan utama atau sampingan.

Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri, kemerosotan jualan ini berlaku berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara ini sejak awal tahun ini. Dengan adanya pelaksanaan program membantu usahawan kraf tempatan diharap dapat membantu kumpulan sasar, iaitu belia dan beliawanis, asnaf, golongan B40 (bandar dan desa), masyarakat Orang Asli, etnik Sabah dan Sarawak, kumpulan rentan (ibu tunggal, orang kurang upaya dan warga emas) serta penganggur. Sebanyak 47 projek dengan 159 aktiviti makmal kemahiran kraf di seluruh negara, telah dan bakal berlangsung bagi tempoh empat bulan.

Program ini memfokuskan kepada empat inisiatif, iaitu pembangunan produk, pembangunan komuniti, pasaran dan promosi serta komunikasi pasaran bersepadu, yang terbuka kepada seramai 3,720 orang kumpulan sasar merangkumi bidang kraf tekstil, hasil rimba, hasil logam, hasil tanah dan aneka kraf.

Buat rakyat Malaysia, mari membantu dan menyokong dengan membeli barang kraf negara kita.

image via google | Sumber: Bernama

Oleh
Husna