Tidak jauh dari pusat Bandar Kuala Lumpur, sesiapa sahaja mampu melepaskan tekanan sambil menunggang All-Terrain Vehicle (ATV) yang menjanjikan pengalaman yang sangat berbeza. Persekitaran ekstrem, laluan berliku dan keindahan alam semuanya cukup mengujakan jika anda pertama kali memegang handle kenderaan ini.
Hutan Simpan Kemensah, Selangor terletak cuma 4.8 kilometer perjalanan di belakang Zoo Negara, Hulu Klang, di sini menjanjikan kepuasan buat penggemar sukan ekstrem. Penggemar sukan ekstrem makin menggalakkan berikutan pendedahan serta populariti aktiviti menunggang ATV di Malaysia. Aktiviti menunggang ATV yang dilakukan dalam hutan dianggap suatu bonus kerana memberi keseronokan tersendiri dengan trek laluan yang mengikut bentuk bumi semula jadi. Keunikan cabaran mengendalikan pengangkutan ini dalam hutan juga mendapat sambutan pelancong asing yang mahu meneroka hutan.
Ramai yang tidak tahu ATV sebenarnya kenderaan lasak yang sememangnya dicipta untuk merentas laluan lasak (off road). Sejujurnya, menunggang ATV di dalam hutan dengan laluan berlumpur, berbukit dan curam menjanjikan keseronokan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Di sini menawarkan beberapa laluan trek merentas denai berliku, curam dan menghijau dalam hutan simpan negeri Selangor. Setiap trek menjanjikan cabaran berbeza, namun yang pasti, keadaan hutan dara itu masih kekal semula jadi demi memberikan kepuasan kepada pencinta alam.
Menjadi tanggungjawab semua peserta untuk mengekalkan ekosistem hutan ini sehinggakan tidak ada pokok yang akan dipotong malah laluan trek juga telah diberitahu disiapkan secara manual iaitu hanya menggunakan tangan. Paling menarik, apabila tiba di lokasi tertentu, penunggang harus membongkokkan badan kerana perlu melalui lorong kecil pokok buluh yang kita tidak boleh potong. Inilah antara cabaran yang bakal dihadapi selain menaiki atau menuruni bukit curam serta laluan berliku.
Tiada sebab untuk merasa takut atau meragui kemampuan diri. Bagi yang pertama kali mengendalikan ATV anda akan diberi taklimat ringkas supaya tidak berasa bimbang dengan kaedah pengendalian dan cabaran sukan itu selain diberi tunjuk ajar, demonstrasi pemanduan dan bantuan teknikal oleh krew bertugas.
Ternyata, selepas dapat mengendalikan sendiri ATV, timbul rasa keseronokan dan rasa teruja dalam diri peserta biarpun pada mulanya, berasa sedikit takut kerana perlu berdepan dengan laluan berliku dan curam.
Penjaga di sini tidak akan berkompromi dari segi keselamatan kerana ia adalah keutamaan pusat reakreasi di sini. Oleh itu, selain pemantauan kakitangan, penunggang yang pertama kali mencuba sukan ini juga perlu menjalani latihan di trek percubaan. Tidak terkecuali, pemakaian topi keledar adalah wajib.
Menyentuh mengenai kepuasan yang dijanjikan melalui pemanduan ATV, selain menyusuri trek hutan yang belum terusik, anda berpeluang bermandi manda di beberapa lokasi air terjun. Keseronokan bukan hanya di trek semata-mata malah peserta dapat menikmati kesejukan air terjun, yang terletak jauh dari tumpuan orang ramai.
Perjalanan keseluruhan mengambil masa sehingga tiga jam dengan menyusuri laluan paling ekstrem di Bukit Tabur dan Bukit Lalang. Inilah saatnya untuk menguji kemahiran sebenar mengendalikan ATV di mana perjalanan ini membawa anda menyusuri bukit curam, permukaan kasar, jejak sungai serta laluan berlumpur yang mana memberi satu pengalaman ekstrem sebenar.